suria

Faizal gementar pertama kali beraksi di AJL

Faizal tidak letak harapan tinggi, tetapi akan berikan persembahan terbaik pada malam AJL23 nanti - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL
Faizal tidak letak harapan tinggi, tetapi akan berikan persembahan terbaik pada malam AJL23 nanti - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL
Faizal tidak letak harapan tinggi, tetapi akan berikan persembahan terbaik pada malam AJL23 nanti - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL

PERASAAN gementar dan teruja saling berbaur di dalam diri Faizal Tahir tatkala menjelangnya Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 18 Januari ini.

Kegagalan beraksi di AJL tahun lalu akibat kontroversi yang dicetusnya dulu membuatkan penyanyi berusia 30 tahun ini adakalanya tertekan apabila memikirkan tentang persediaan yang perlu dilakukannya, apatah lagi ini merupakan kali pertama dia akan berentap di pentas AJL.

Menebus kekecewaan lalu dengan turut mempertaruhkan dua buah lagu bagi kategori Balada iaitu Cuba dan Sampai Syurga yang kedua-duanya merupakan ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Faizal sendiri, penyanyi yang cukup sinonim dengan imej 'Superman' ini mempunyai cara tersendiri untuk persiapan sempena malam kemuncak itu.

Bagi Faizal, dia hanya ingin memastikan persediaan dari segi mental dan berharap kesihatannya tidak terjejas sebelum berlangsungnya AJL23 yang bertemakan Iluminasi Muzik itu.

"Saya tidak mahu terlalu memikirkan tentang persediaan persembahan. Bukannya tidak ambil kisah, tetapi saya tidak mahu terlalu merancang, takut kecewa jika tidak 'menjadi'.

"Kalau boleh, saya ingin penonton nanti memberi lebih fokus kepada sususan muzik dan lagu itu. Dan apa yang lebih penting buat saya ialah untuk bersiap-sedia dari segi mental dan perlu jaga kesihatan," kata Faizal yang ditemui pada sidang media dan cabutan nombor giliran persembahan AJL23, di Sri Pentas, baru-baru ini.

Selain dua buah lagu nyanyian Faizal, terdapat 12 buah lagu lagi yang dipertandingkan menerusi tiga buah kategori; Etnik Kreatif, Pop Rock dan Balada.

Tiga buah lagu daripada Etnik Kreatif, enam menerusi kategori Balada dan lima buah lagu di dalam kategori Pop Rock akan berentap bagi merangkul gelaran Juara Lagu Ke-23 sekaligus bakal meraih wang tunai sebanyak RM25,000.

Bagi kategori Etnik Kreatif, tiga buah lagu yang layak ke peringkat akhir AJL23 ialah Persoalan Cinta nyanyian Farawahida, ciptaan Julfekar dan lirik oleh Ku Seman dan Izza Rosley, Dusta Berkalang nyanyian Aiman (Hafiz Hamidun/Ahmad Fedtri Yahya) dan Doa Dalam Lagu nyanyian Mawi dan Heliza (Ajai/Loloq) yang mana Zahid akan menggantikan Mawi pada malam tersebut.

Bagi kategori Balada pula, selain Sampai Syurga dan Cuba, lagu yang layak ialah Bila Nak Saksi oleh Spider (Tam/Loloq), Hanya Di Mercu nyanyian Ayu (Aubrey Suwito/Habsah Hassan), Dingin oleh Ziana Zain (Azlan Abu Hassan/Azalea) dan Lagu Kita nyanyian Aizat (Aizat).

Lima buah lagu yang dipertandingkan menerusi kategori Pop Rock pula ialah Kalis Rindu dendangan Elyana (Aidit Alfian/Ad Samad), Lagu Untukmu oleh Meet Uncle Hussein (Taja, Tass, Lan/Taja, Tass), Yang Pernah nyanyian Estranged (Estranged/Estranged), Aku Stacy nyanyian Stacy (Intan Norul Azlin/Intan Norul Azlin, Layla Ismail) dan Bukan Di Sini oleh Sofaz (Zimi, Ameer/One).

Mengulas tentang dua buah lagu nyanyiannya itu, kata bapa kepada dua orang cahayamata ini, dia akui Sampai Syurga lebih mencabar berbanding Cuba.

"Sejujurnya, saya lebih selesa dengan Cuba sebab nyanyiannya tidak sesukar Sampai Syurga. Tetapi, saya akui lirik Sampai Syurga lebih universal.

"Apapun, saya tidak letak 'bias' untuk mana-mana lagu tersebut. Kedua-duanya adalah ciptaan Audi dan lirik oleh saya, dan sudah tentu saya tetap akan membuat persembahan yang terbaik untuk kedua-dua lagu itu," katanya.

Ditanya antara dua buah lagu tersebut, yang manakah mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang, kata Faizal, dia sendiri sukar untuk meramalkan meskipun kebanyakan peminat-peminatnya mempunyai pilihan masing-masing.

"Memang ada yang cakap Cuba mempunyai potensi cerah untuk menang berbanding Sampai Syurga, tetapi ada juga yang berkata sebaliknya. Sukar untuk saya pilih, tetapi saya tidak menafikan 'feel' saya lebih kepada Sampai Syurga.

"Tetapi untuk dinobatkan sebagai juara, saya rasa semua lagu yang bertanding ada kekuatan tersendiri.

"Saya melihat Lagu Untukmu nyanyian Meet Uncle Hussein adalah calon yang paling layak untuk menang sebenarnya kerana bagi saya, muzik mereka amat 'fresh'.

"Tetapi jika ditanya bagi kategori Balada sendiri, saya letak harapan yang tinggi kepada lagu Dingin nyanyian Ziana Zain dan Lagu Kita oleh Aizat. Saya melihat Aizat adalah pelapis yang cukup berbakat besar," kata Faizal lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain