suria

Erry Putra bakal berlakon dengan Datuk Siti?

Erry Putra mahu berjaya dalam bidang nyanyian dan lakonan.
 Erry Putra mahu berjaya dalam bidang nyanyian dan lakonan.
Erry Putra mahu berjaya dalam bidang nyanyian dan lakonan.

WATAK Jofri dalam drama bersiri Manjalara telah mengangkat nama pelakon berbakat Erry Putra.

Biarpun agak lambat terjun ke bidang lakonan namun lakonan mantapnya berjaya meninggalkan kesan yang tersendiri kepada penonton.

Tidak bersandarkan paras rupa semata-mata jejaka yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini terus mengorak langkah setapak kehadapan dalam bidang seni apabila menghasilkan album solonya bertajuk 'Erry Putra'.

Mini album yang berkonsepkan Pop Rock ini akan turut memuatkan dua buah single yang juga lagu tema drama bersiri Sutera Maya, Cintamu (Zimi Sofaz/lirik Aiman 2 By 2) dan Izinkan Aku (Zul 2 By 2) dan lirik, Erry sendiri, album ini akan berada di pasaran sedikit masa lagi.

"Material untuk album solo juga sudah ada cuma saya tunggu masa untuk keluarkan album penuh. Ada beberapa buah lagu lagi saya nak rakamkan. Saya memutuskan untuk bergerak solo kerana turut terbabit dalam bidang lakonan," kata jejaka berusia 28 tahun ini.

Mencipta nama dalam bidang lakonan pasti ramai yang tidak menyedari bahawa jejaka kacak ini pernah menggangotai kumpulan Boyz 'R' Us.

Mengakui hal tersebut Erry atau nama sebenarnya Eirey Syafiq @ Razlan Hamzah, mengakui dia terjun ke bidang lakonan hanyalah untuk mencari sumber pendapatan bagi membantunya menghasilkan album.

“Saya akui pada awalnya saya jadi pelakon untuk tambah pendapatan untuk buat album saya. Tapi tak sangka lepas dapat tawaran berlakon nama saya terus dikenali dan ramai penerbit yang offer berlakon drama mereka.

“Sejak itu saya tak putus-putus terima tawaran berlakon. Alhamdullilah saya terima kedua-duanya sebagai sumber pendapatan saya,”ujarnya yang turut membintangi slot drama Akasia, Sutera Maya.

Minat berlakon dan menyanyi

Namun menurut jejaka yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan ini, ketika ini bidang lakonan tetap menjadi keutamaan kepadanya.

Kini, Erry mengakui dia sudah jatuh cinta pada bidang lakonan.

"Saya terima undangan persembahan apabila tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran drama. Maklumlah, ketika berlakon Sutera Maya dulu, selama empat bulan juga saya berkampung di lokasi.

Katanya, dia masih ingat teguran Sheila Rusly yang bertanya apakah matlamatnya dalam bidang lakonan. Begitu juga dengan pelakon Rosyam Nor yang pernah bertanya mana satu yang ingin dia kejar, lakonan atau nyanyian ketika menawarkan Erry berlakon di bawah produksinya.

"Sebenarnya, saya ingin fokus pada kedua-dua cabang seni ini. Misi saya juga ingin dikenali sebagai pelakon berkarakter seperti idola saya, Sheila, Rosyam, Datuk Jalaluddin Hassan dan Nasir Bilal Khan. Saya mengagumi pelakon lama kerana pelakon baru berlagak diva apabila popular," katanya.

Kekasih seorang pengacara

Diusik mengenai kisah cintanya, nyata jejaka kacak ini tidak lokek untuk berkongsi cerita tentang buah hatinya.

Menurut Erry, kekasihnya merupakan seorang pengacara televisyen swasta di ibu negara.

Menceritakan detik perkenalan mereka, Erry sendiri tidak menyangka dia bakal jatuh cinta dengan kekasihnya itu.

“Saya pun tak pasti macam mana saya boleh jatuh cinta dengan dia. Dulu kami ini suka sangat bergaduh. Saya selalu kutuk-kutuk dia. Kami memang tak boleh berjumpa, kalau jumpa mesti gaduh.

“Mungkin sikap ‘gila-gila’ ini yang merapatkan kami berdua,” ujarnya yang sudah setahun menyulam cinta dengan pengacara terbabit.

Jelas Erry lagi, kekasihnya itu seorang yang simple dan tidak suka kisah cinta mereka digembar-gemburkan.

“Kekasih saya ni bukan selebriti jadi dia lebih suka senyap dan tak suka keluar cerita-cerita gosip tentang kisah cinta kami.

“Saya akui tak dapat hindari cerita-cerita gosip dan kontroversi, sebab ia memang asam garam dunia artis, tapi kalau boleh biarlah berpada,” ujarnya yang merancang mendirikan rumahtangga penghujung tahun ini.

“Saya akui hubungan kami memang serius, Insya-Allah kalau ada jodoh saya nak kahwin hujung tahun ini. Tapi sekarang ini kena simpan duit dulu. Duit tak cukup lagi tak boleh kahwin,” ujar Erry ceria.

Berlakon dengan Datuk Siti

Bercerita mengenai karier lakonannya, Erry mengakui dirinya tidak menang tangan menerima tawaran berlakon, namun dia tetap cuba membahagikan masa agar dirinya tetap dapat berehat.

Terbaru Erry akan membintangi filem Bunian yang bakal memulakan penggambaran awal Februari depan.

Istimewanya filem arahan Man Jantan ini adalah apabila penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza dijangka akan turut berlakon dalam filem terbabit.

“Filem bunian ini macam cerita Lord Of The Ring sikit dan ada unsur-unsur mistik. Ada tiga hero dalam filem ini, saya, Rusdi Ramli dan Beego. Paling menarik adalah kemunculan Datuk Siti dalam filem ini.

“Datuk Siti akan membawakan watak sebagai Dayang, manakala saya dan dua orang hero lagi akan berlakon sebagai pesilat yang sangat dikenali.

“Hinggalah satu hari kami dilantik menjadi duta dan kami dikehendaki pergi ke Gunung Kinabalu, disitulah segalanya bermula apabila Rusdi Ramli hilang apabila terjatuh ke dalam lubang yang dipercayai tempat tinggal orang bunian. Nak tahu apa yang terjadi kena lah tunggu,”ujar Erry yang pernah membintangi drama bersiri Saka.

Artikel Sebelum

Umie: Susah cari lelaki serasi!

Artikel Berikut

Artikel Lain