suria

Farah lebih berhati-hati terima tawaran lakonan

Raja Farah tidak serik terima tawaran biarpun pernah ditipu. Foto The Star Oleh: KAMARUL ARIFFIN.
Raja Farah tidak serik terima tawaran biarpun pernah ditipu. Foto The Star Oleh: KAMARUL ARIFFIN.
Raja Farah tidak serik terima tawaran biarpun pernah ditipu. Foto The Star Oleh: KAMARUL ARIFFIN.

BAKAT pelakon jelita ini memang tidak dapat dinafikan lagi namun dek kesibukannya berlakon ada pula yang cuba membuat onar dalam karier seninya.

Tidak mahu dilabel sebagai artis yang bermasalah pelakon muda yang sedang meningkat naik, Raja Farah Raja Raja Aziz, 20 terpaksa lantang bersuara mempertahankan haknya.

Biarpun si cantik ini tidak berniat untuk menghebahkan masalah tersebut namun kerana kedegilan sebuah syarikat produksi melunaskan bayaran lakonannya dalam filem Eee...Hantu memaksa dia berbuat demikian.

“Saya memang tak suka nak besar-besarkan hal ini. Tapi mereka (syarikat produksi) itu tak nak bayar baki bayaran lakonan saya dalam filem itu macam mana.

“Ini periuk nasi saya, mata pencarian saya, kalau setakat dua tiga ratus saya boleh halalkan tapi ini melibatkan ribuan ringgit, yang boleh saya gunakan untuk bayar sewa rumah dan installment kereta sebulan,” ujarnya dalam nada geram.

Menurut Farah, sudah hampir setahun syarikat produksi tersebut tidak melunaskan baki bayaran lakonannya dalam filem tersebut.

“Bukan saya tak cuba hubungi mereka, saya dah pun bertanya sendiri kepada pihak produksi tapi mereka beritahu ada sedikit masalah berkaitan kewangan berlaku.

“Saya pun faham jadi saya pun tunggu la. Dalam bulan 8 mereka call saya mintak saya datang shooting untuk habiskan babak yang tertangguh dulu. Saya pun letak syarat mereka perlu bayar at least30 % daripada jumlah keseluruhan dan duit tu saya mintak mereka masukkan ke dalam akaun saya baru saya bersetuju untuk habiskan penggambaran.

“Mula-mula mereka setuju, tapi saya pun tunggu dan semak akaun saya tak ada apa-apa perubahan yang berlaku. So, saya anggap mereka pun tak nak sambung shootingfilem tersebut.

“Tetapi mereka kata saya pulak yang tak nak beri kerjasama dan langgar kontrak. Sedangkan kontrak yang telah saya tandatangani tu pun saya tak dapat salinannya. Mereka kata dah bagi padahal memang saya tak dapat pun salinan kontrak itu,” katanya kecewa.

Jelas pelakon filem Apa Kata Hati ini lagi, bukan hanya dia yang berhadapan dengan masalah tersebut sebaliknya pelakon, Erry Putra turut berhadapan dengan masalah serupa.

“Saya akan beri mereka peluang untuk melunaskan bayaran lakonan saya lagi 70 %. Lagipun mereka dah berjanji dalam bulan ini mereka akan bayar. Tak apa saya akan tunggu sehingga akhir bulan ini.

“Jika masih tak ada sebarang perubahan, mungkin saya akan buat laporan polis dan ambil tindakan undang-undang ke atas mereka. Saya memang tak nak ambil tindakan terburu-buru apa pun saya akan minta nasihat dari mereka yang arif dalam hal ini,” ujar Farah yang bakal muncul dalam filem Maut arahan Bade Haji Azmin pada 15 Januari ini.

Ditanya adakah dia serik untuk berlakon dengan syarikat produksi yang tidak dikenali selepas ini, Farah berkata dia tidak serik namun dia akan lebih berhati-hati apabila menerima tawaran berlakon.

“Saya akan lebih berhati-hati lepas ini. Saya tak kisah syarikat baru atau lama, tapi saya akan tanya mereka yang pernah kerja dengan syarikat produksi itu sebelum terima tawaran daripada mereka.

“Saya tak nak kejadian yang sama berulang lagi. Ini pengajaran bagi saya supaya berwaspada lepas ini,” ujar Farah yang enggan mendedahkan nama syarikat produksi tersebut.

Filem Eee...Hantu diarahkan oleh sutradara Majid Salleh ini dibintangi pelakon Erry Putra, Raja Farah, Ashraff Muslim, Nabil (Raja Lawak), S Shamsudin dan Ruminah Sidek.

Sedang dilamun cinta

Melihat perwatakannya yang ceria, barangkali hari-harinya dihiasi kebahagiaan. Ketika ditanya mengenainya, Farah tidak menafikannya.

Malah, pelakon muda ini mengakui hidupnya lebih terisi dengan kehadiran seorang jejaka. Begitupun, Farah tidak mahu memperbesarkan kisah cintanya.

Bagi gadis manis ini, setiap insan mahukan belaian kasih, begitu juga dirinya. Sebagai manusia biasa, pertemuan dengan jejaka itu melengkapkan hidupnya.

"Rasanya cukup memperkenalkan jejaka ini sebagai A. Sebenarnya kami sudah lama berkawan. Hampir setahun hubungan cinta terjalin. Mulanya, pertemuan kami sebagai kawan biasa. Namun selepas mengenali hati budi masing-masing, kami bagaikan ada keserasian.

"Dia juga seorang yang memahami, penyayang dan paling penting, dia ikhlas dalam hubungan ini.

Tidak dinafikan dia sering menemani saya di set penggambaran. Malah, rakan juga bertanya siapa jejaka itu.

"Begitupun, hubungan kami masih pada peringkat awal. Memandangkan saya masih muda dan dia baru berusia 25 tahun, kami membuat keputusan untuk tumpukan kepada kerjaya dulu. Buat masa ini kami belum terfikir untuk berkahwin.

"Insya-Allah, jika ada jodoh saya akan memberitahu bila tiba detik bahagia itu nanti. Sekarang, cukup dengan apa yang diceritakan. Saya tidak suka terlalu menjaja cerita peribadi untuk meraih perhatian peminat," katanya.

Berlakon filem 'Haq'

Bercerita mengenai kerjayanya, terbaru Farah akan membintangi filem arahan Fairuz Loi berjudul Haq. Jelas Farah, filem itu bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi.

"Dalam filem itu, saya pegang watak gadis kampung bernama Aina yang meminati seorang lelaki. Ia mengisahkan lelaki yang mempunyai kuasa luar biasa. Menariknya, ia juga akan menggunakan teknik sistem janaan komputer (CGI).

"Begitupun, bukan mudah untuk memegang watak dalam cerita itu. Setiap watak yang menyokong cerita itu mempunyai cabaran tersendiri. Disebabkan jalan ceritanya berat, sudah pasti lakonan yang harus diberikan nanti akan lebih sukar.

Ingin bawa keluarga pergi umrah

Sempena tahun baru ini, Farah turut memasang azam berusaha mengecapi kejayaan yang diidamkan.

Memandangkan 2008 tahun sukar untuknya, dia tidak mahu kenangan lalu menggugat kekuatannya untuk mengejar impian dan harapan yang belum tercapai.

"Banyak dugaan melanda tahun lalu, terutama berkaitan kerjaya. Pelbagai cerita kurang enak, kontroversi dan gosip mengaibkan mengiringi perjalanan seni saya.

"Begitu pun, saya sedar itu semua permainan dalam dunia glamor. Malah, saya turut memasang azam terus tabah menghadapi dugaan dan menjadi lebih matang menguruskan kerjaya. Saya juga berdoa 2009 menjadi tahun yang baik untuk saya.

"Jika ada rezeki, saya mahu membawa ibu bapa mengerjakan haji atau umrah. Insya-Allah, jika tiada aral, saya bercadang membawa mereka ke sana tahun ini.

“Semuanya masih dalam perancangan, namun jika diizinkan Tuhan, pasti ia tidak ke mana,"katanya mengakhiri perbualan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ally tidak menolak tuah

Artikel Lain