suria

Bapa Nubhan AF6 meninggal dunia

PETALING JAYA: Malam tadi, penyanyi kelahiran AF6, Nubhan, 22, dikejutkan dengan berita kematian bapanya, Haji Ahamad Haji Abdul Rahman, 67, akibat serangan jantung.

Penyanyi yang popular dengan lagu Ada Cinta ini bagaimanapun sedang berada di Kuala Lumpur ketika mendapat berita ayahnya pengsan dalam satu majlis kenduri di Negeri Sembilan daripada kakaknya melalui telefon kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Allahyarham Ahamad disahkan meninggal dunia sejam selepas itu ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Salam, Senawang, Negeri Sembilan.

“Saya rasa sedih dan terkilan kerana tidak sempat melihat ayah pergi semalam tetapi hari ini sudah tenang sedikit.

"Saya juga berasa terkejut kerana tidak tahu langsung yang ayah mempunyai penyakit jantung. Yang saya tahu arwah mengidap penyakit darah tinggi dan pernah mengadu sakit dada.

"Ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban pun saya hanya bayangkan untuk memeluk ayah dalam keadaan beliau masih hidup.

"Tetapi, apabila perjalanan saya melepasi Nilai, saya mendapat berita ayah sudah tiada dan waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu macam mana perasaan saya ini,” kata anak bongsu daripada lapan beradik ini ketika dihubungi hari ini.

Nubhan berkata, ketika kali terakhir mereka bertemu pada Ahad lalu di Seremban, allahyarham tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pergi menemui Ilahi.

"Saya, arwah ayah dan adik-beradik lain berbual macam biasa. Lagipun, dia memang jenis yang tak banyak cakap.

"Cuma dalam dua, tiga hari ini saya rasa tak tentu arah, sunyi dan nak balik ke kampung. Tetapi disebabkan kerja, saya terpaksa lawan perasaan itu.

"Walaupun saya tak sempat dengar pesanan terakhir daripada arwah, saya masih ingat yang arwah pernah berpesan supaya saya pandai membawa diri dalam industri seni ini," luah Nubhan dalam keadaan tenang.

Dalam masa yang sama, Nubhan juga meluahkan perasaan terharunya kerana belum puas membalas jasa bapanya tambahan pula beliau masih awal untuk mengecapi kejayaan dalam industri seni ini.

"Sebelum ini, saya ada niat untuk upahkan pembantu rumah untuk mak dan ayah. Jika kewangan saya sudah mengizinkan, Insya-Allah, saya akan tunaikan janji itu dan ada beberapa lagi perkara yang saya nak lakukan untuk mereka.

"Sejak saya keluar AF, memang saya banyak utamakan mak dan ayah dahulu.

"Tetapi, nampaknya ayah saya tak sempat nak merasa itu semua dan sekarang saya akan berikan kepada mak sahaja," ujar Nubhan yang mengambil masa seminggu untuk bercuti daripada aktiviti seni demi menghormati pemergian bapa tersayang.

Kemungkinan Nubhan akan kembali bekerja pada minggu hadapan dan beliau turut akan terlibat dengan rakaman program Zoom In @ RTM pada hari Jumaat depan, pukul 8 malam di Angkasapuri, RTM.

Allahyarham Ahamad meninggalkan seorang balu, Badariah Omar, 64, serta lapan anak dan enam cucu. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan hari ini, di Tanah Perkuburan Islam, Tebing Tinggi Juasseh selepas Zuhur.

Artikel Sebelum

Artikel Lain