suria

Spa Q 2 lebih konflik, lebih mencabar

Barisan pelakon Spa Q 2. -foto TV3
Barisan pelakon Spa Q 2. -foto TV3
Barisan pelakon Spa Q 2. -foto TV3

DRAMA bersiri Spa Q yang pernah menemui penonton TV3 menerusi slot Akasia Oktober tahun lalu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air, drama bersiri 60 episod itu berjaya memperoleh jumlah hampir 2 juta penonton.

Ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, pukul 6.30 petang, siri ini telah mencipta fenomena yang menjadi bualan seantero negara pada tahun 2007.

Impak yang sangat mendalam ini akhirnya mencetuskan idea untuk melanjutkan kesinambungannya menerusi Spa Q 2.

Disiarkan pada slot yang sama dan pada waktu yang sama, Spa Q 2 bakal menemui penonton TV3 mulai 15 Disember ini.

Berbeza dengan Spa Q yang diarah Zulkiflee R. Shad, Spa Q 2 yang diterbitkan oleh Global Station Sdn. Bhd. milik produser Zaiton Mohd. Jiwa ini mendapat sentuhan daripada pengarah berpengalaman iaitu Feroz Khan dan Hanafiah Sharif serta dibantu oleh Redza Fahmy.

Siri 60 episod ini bakal menampilkan kelainan dari segi jalan ceritanya yang lebih menarik dengan pelbagai konflik yang terpaksa dihadapi oleh Qistina sebagai seorang wanita cantik dan berjaya.

Spa Q 2 kali ini lebih meriah dengan penampilan ramai pelakon hebat lagi jelita seperti Norish Karman, Zizie Ezette, Azizah Mahzan, Jasmin Hamid, Faradhiya, Fouziah Gous, Zaris Nellydya, Sharifah Sofea dan Nisha Dirr.

Turut serta adalah Zaefrul, Fazren Rafi, Ifa Raziah, Liza Abdullah, Kanchana Dewi, Faizal Yusuf, Ritz dan Fizow Omar.

Siri ini juga membuat kejutan apabila buat julung kalinya, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza turut membuat penampilan istimewa dalam siri ini dengan membawa watak dirinya sendiri.

Selain itu, satu lagu khas nyanyian beliau berjudul Pada CintaNya telah digubah sebagai lagu tema siri ini.

Menurut pengarahnya, Redza Fahmy, dia bersama dua orang pengarah lagi sebolehnya inginkan perubahan untuk siri musim kedua ini.

“Kami tak nak nampak seperti Spa Q musim pertama dulu. Cabaran yang paling besar apabila mahu buat yang lebih baik dari segi lakonan, ‘whole look’ dan ‘treatment’.

“Apa yang kami rasakan, pembikinan drama ini sehebat menghasilkan sebuah filem. Jika tengok kepada sebalik tabir drama ini, ia sudah tak nampak macam drama.

“Kami juga menghasilkan drama ini menggunakan teknik artistik dan menepati konsep telenovela,” ujarnya mengenai drama yang telah menjalani pengambaran kira-kira 70 peratus itu.

Sementara Hanafiah pula berkata, apa yang menarik tentang Spa Q 2 merupakan plot dan sub-plotnya.

“Kami akan cuba memasukkan semua unsur yang mampu mengekalkan populariti Spa Q musim pertama.

“Di setiap episod, penonton akan ditinggalkan dengan cerita yang berakhir dengan ‘cliff hanger’. Jadi, mereka akan tertunggu-tunggu apakah sambungan cerita tersebut,” ulasnya mengenai drama yang dihasilkan dengan menggunakan bajet yang tinggi.

Dalam pada itu, menurut Pengurus Besar Kumpulan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar berkata, selepas siri Spa Q mendapat sambutan menggalakkan, ia telah mendorong pihak TV3 untuk menyiarkan Spa Q 2 khusus untuk peminat-peminat setia siri ini dan dengan adanya pelakon-pelakon hebat serta penampilan istimewa Datuk Siti Nurhaliza, pastinya menjadikan siri ini lebih menarik lagi.

“Bukan itu sahaja, kami dapati jenama Spa Q tumbuh bak cendawan selepas hujan terutama pada barangan perhiasan, pakaian, skarf, malah ada juga spa yang baru dibuka diberi nama Spa Q selepas siri ini ditayangkan,” katanya.

Spa Q 2 meneruskan kesinambungan kisah Qistina (Norish Karman) yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai konflik bersama dua orang anaknya, Dafi (Fazren Rafi) dan Melisa (Zaris Nellydya) selepas kematian suaminya, Riezman.

Walaupun sibuk dengan kerjayanya, namun Qistina tetap merasakan kesunyian dan masih mencari cinta sejati.

Dengan pertolongan Datuk Siti, Qistina cuba memperluaskan perniagaannya ke peringkat antarabangsa.

Namun begitu, dia terpaksa berhadapan dengan masalah anak-anaknya, selain dari menghadapi pelbagai tentangan dan dugaan daripada orang-orang yang kurang senang dengan kerjayaannya.

Untuk mengetahui kesudahan Spa Q 2, pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton siri ini setiap Isnin hingga Khamis, pukul 6.30 petang mulai 15 Disember ini hanya di slot Akasia, TV3.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain