suria

Hampir tiga tahun simpan 'rahsia', Velvet-Rich akhiri zaman solo

Rich mula digosipkan dengan Velvet sejak di dalam AF4 lagi, namun masing-masing sering menafikan
Rich mula digosipkan dengan Velvet sejak di dalam AF4 lagi, namun masing-masing sering menafikan
Rich mula digosipkan dengan Velvet sejak di dalam AF4 lagi, namun masing-masing sering menafikan

TAHNIAH buat pasangan kelahiran program realiti popular Akademi Fantasia musim keempat (AF4) Richael L.Limbang atau Rich dan Velvet Lawrence Aduk atau Velvet, yang selamat melangsungkan perkahwinan mereka di Shangri-La Tanjung Aru Resort, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat lalu.

Difahamkan, kira-kira 1000 orang tetamu terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan kedua-dua belah pihak hadir memeriahkan majlis bersejarah pasangan tersebut.

Turut menyerikan majlis itu ialah kehadiran rakan-rakan AF seperti Marsha dan Farhan.

Perkahwinan 'rahsia' mereka ini mungkin gagal dihidu oleh media apatah lagi kedua-duanya sebelum ini memang sentiasa mengunci mulut tentang hubungan mereka, meskipun tidak lama dulu kisah pertunangan dua bintang AF ini sudah dipaparkan di beberapa media tempatan.

Difahamkan, pasangan ini terpaksa merahsiakan majlis perkahwinan mereka kerana permintaan keluarga.

Pasangan 'low-profile' ini sememangnya tidak gemar menjaja kisah cinta mereka dan seringkali apabila status hubungan mereka ditanya oleh wartawan, Rich mahupun Velvet lebih senang mengelak.

Apapun, nampaknya Velvet dan Rich menjadi pasangan AF kedua yang berjaya menyatukan cinta mereka dengan perkahwinan setelah dua bintang AF musim pertama iaitu Khai dan Rosma selamat dinikahkan sekitar April lalu.

Mengimbas kisah cinta pasangan ini, Rich yang kini merupakan vokalis kumpulan Estranged telah digosipkan dengan penyanyi berusia 21 tahun itu sejak mereka sama-sama berjuang di AF4 kira-kira tiga tahun yang lalu.

Jejaka berusia 26 tahun itu tidak lekang diusik oleh pengacara AF ketika itu, Aznil Nawawi yang sentiasa mengaitkan dirinya dengan Velvet berdasarkan keakraban yang dilihat di antara mereka menerusi program Diari AF.

Malah, sehingga berakhirnya AF4, masing-masing sering menafikan hubungan mereka lebih daripada seorang sahabat apabila setiap kali persoalan itu diajukan oleh wartawan. Mungkin masing-masing mempunyai alasan tersendiri untuk tidak mendedahkan kisah cinta mereka.

Apapun, tahniah sekali lagi untuk pasangan pengantin ini!

Artikel Berikut

Artikel Lain