suria

Sajian istimewa Aidiladha di TV9

SEMPENA sambutan Hari Raya Aidiladha yang menjelang tiba, TV9 telah menyediakan beberapa program menarik berunsurkan pengorbanan, pengajaran dan kasih sayang, menerusi slot-slot Qurban & Keinsafan, Sinema AidilAdha, Nick di 9 dan Layar Aidiladha.

Program Aidiladha bermula pada 7 Disember ini menerusi Coretan Di Tanah Suci pada jam 7.30 malam hingga 8 malam. Program ini menceritakan tentang pengalaman beberapa jemaah haji dan umrah mengerjakan ibadah mereka sepanjang berada di Tanah Suci Mekah.

Pada 11 malam hingga 1 pagi pula, Layar Aidiladha – Seluhur Nazar akan menemui penonton. Drama ini mengisahkan tentang Fatimah, seorang ibu tunggal yang bernazar untuk mengorbankan seekor lembu sempena Aidiladha.

Suatu hari tanpa diduga, dia telah dirompak dan ketika bergelut untuk menyelamatkan diri, kepalanya telah dipukul oleh perompak dan dibiarkan di tepi jalan. Keadaan Fatimah yang kritikal telah mendesak anak-anaknya untuk menunaikan hajat terakhir ibu mereka. Drama ini dilakonkan oleh pelakon-pelakon hebat seperti Syafie Naswip, Rozita Che Wan, M. Rajoli dan Zed Zaidi.

Sementara pada jam 3 pagi hingga 5 pagi, TV9 akan menemani anda dengan Layar Aidiladha – Surat Dari Ethopia. Drama lakonan Pierre Andrea dan Azizah Mahzan ini mengisahkan tentang Azizan dan isterinya yang baru kematian anak tunggal kesayangan mereka bernama Ayyaz di Ethiopia.

Selepas kematian Ayyaz, barulah Azizan dan isteri mendapat tahu bahawa Ayyaz banyak menjalankan kerja-kerja amal terutamanya membantu penagih-penagih dadah di pusat pemulihan.

Keesokan harinya iaitu 8 Disember, program Aidiladha TV9 diteruskan seawal jam 6.30 pagi menerusi rakaman Kuliah Aidiladha bersama dua ahli panel bertauliah iaitu Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dan Ustaz Rujhan Mohd Razali menceritakan tentang erti sebenar pengorbanan dan bagaimana ianya berkait dengan kehidupan seharian kita.

Seterusnya pada jam 7.30 pagi hingga 10.30 pagi, penonton berpeluang melihat takbir dan solat Aidiladha secara langsung dari Masjid Terapung Puchong sambil menyaksikan program Qurban & Keinsafan yang menampilkan pengacara seperti Aziz Desa, Mek Sayyidah, Mohd Shahrizal dan Farrah Adeeba.

Menerusi program khas ini juga penonton berpeluang untuk menyaksikan jutaan jemaah haji menyambut Aidiladha di Tanah Suci Mekah menerusi laporan saudara Lokman Hamidi selaku Ketua Pengarang, Berita TV9.

Sinema Aidiladha – Lembu Korban yang disiarkan jam 11 pagi hingga 1 tengahari mengisahkan tentang dua keluarga yang bertelagah hanya kerana seekor lembu.

Haji Yamin bercadang untuk membeli seekor lembu daripada Haji Kalam untuk kenduri kahwin adik lelakinya Amin. Namun lembu tersebut telah terlepas. Tanpa disangka, lembu terlepas itu kini berada di bawah jagaan Mat Rafi yang juga merupakan seorang penjaga lembu. Akhirnya berlakulah perbalahan antara Haji Kalam dan Mat Rafi.

Hasrat Haji Yamin terpaksa ditunda sehingga pihak berkuasa dapat memastikan siapakah tuan punya lembu yang sebenar! Antara barisan pelakon yang terlibat di dalam drama komedi ini ialah Megat Shamsuddin Yaacob, Munir Phyne Ballerz, Effa Narisha, Eyzendy Aziz, Roslan Salleh dan Ghazali Abu Noh.

Pada jam 1 hingga 2 petang pula, Ustaz Zamri akan menceritakan tentang pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. terhadap anak yang paling disayanginya iaitu Nabi Ismail a.s. untuk dijadikan sebagai korban sebagai bukti ketaqwaan baginda kepada Allah S.W.T.menerusi Ustaz Zamri Bercerita.

Seterusnya pada jam 6.30 petang hingga 7.30 petang, Demi Takwa akan menyusul yang menceritakan tentang kisah pengorbanan tiga insan dalam mengharungi kehidupan mereka seperti Hajah Faiza Bayumi Sayed Ahmad yang berkorban tenaga dan usaha untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Setelah mengecapi kejayaan, beliau tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik dan sentiasa membantu mereka. Kisah kedua menceritakan tentang Ustaz Jazlan yang merupakan seorang penceramah yang sanggup mendekati anak-anak muda yang sering terlibat dengan kumpulan mat-mat motor semata-mata mahu memahami diri mereka dan setelah itu berusaha memberi dorongan serta menerapkan nilai-nilai murni ke dalam diri mereka.

Sementara kisah ketiga pula menceritakan tentang pengasas Raudhatus Sakinah iaitu Dr. Harlina Hauzah Sirat yang bekerja keras membina tempat perlindungan kepada para remaja yang pernah terjerumus kepada perkara yang tidak bermoral. Dr. Halina cuba membimbing mereka untuk ke jalan yang diredhai dan memberi didikan agama serta kasih sayang kepada mereka.

Layar Aidiladha - Selangkah Ke Syurga lakonan Jalil Hamid, Watie (Elite) dan Zulhuzaimy akan mewarnai malam Aidiladha pada jam 8.30 malam hingga 10.30 malam. Ia mengisahkan tentang seorang petani bernama Pak Jalil yang telah kematian isteri.

Pak Jalil mempunyai sepasang cahayamata Farhan dan Farhana yang bekerja di Kuala Lumpur. Pak Jalil telah mengumpul wang untuk menunaikan ibadah haji namun cadangannya tidak dipersetujui oleh anak-anaknya berikutan usianya yang telah tua.

Pak Jalil amat kecewa dan telah pergi ke Tabung Haji sendiri bagi menguruskan perkara tersebut tanpa bantuan anak-anak. Suatu hari Pak Jalil bermimpi bahawa dia didatangi oleh seorang tua yang mengatakan dia akan ke Mekah. Namun, keesokan harinya, Farhan dan Farhana sangat terkejut apabila mendapati ayahnya telah meninggal dunia pada pagi Hari Raya Aidiladha itu.

Sementara keesokan harinya pula pada jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, penonton akan dihiburkan dengan Layar Aidiladha – Kak Kiah Serunding. Ia mengisahkan tentang Kak Kiah yang terkenal dengan serundingnya yang sedap.

Dia selalu memberi serundingnya kepada jiran tetangga. Kak Kiah juga gemar melaram kerana baginya dengan berpakaian cantik, ia dapat melariskan jualan serundingnya.

Suatu hari, Kak Kiah berkunjung ke rumah Salbiah yang juga bakal menjadi besannya. Kak Kiah berasa iri hati apabila apabila mendapat tahu anak Salbiah iaitu Zaiton pandai membuat serunding dan kebetulan pula serunding Zaiton lebih sedap daripada serunding Kak Kiah. Drama lakonan Kartina Aziz, Rosnah Mat Aris, Hasnul Rahmat dan Catriona Ross pasti menceriakan Aidiladha anda.

Dengan pengisian mantap serta program-program yang mempunyai nilai-nilai estetika yang telah disediakan sempena sambutan Aidiladha 2008, pastikan anda tidak ketinggalan bersama TV9!

Artikel Lain