suria

Fauziah Nawi luah makna 'Cinta Julia'

Fauziah melakonkan pelbagai watak dalam satu monolog. foto SHAARI
Fauziah melakonkan pelbagai watak dalam satu monolog. foto SHAARI
Fauziah melakonkan pelbagai watak dalam satu monolog. foto SHAARI

UNGKAPAN pujangga ada berkata cinta kepada manusia tidak kekal lama dan jika ingin bercinta, cintailah Allah, kerana akan kekal selama-lamanya. Babak-babak terakhir teater Cinta Julia yang sedang dipersembahkan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ada menyentuh tentang ungkapan tersebut sekaligus meluahkan makna sebenar cinta Julia iaitu cinta kepada Yang Maha Esa.

Tidak salah untuk dicintai dan mencintai kerana ia sememangnya lumrah dalam kehidupan manusia.

Namun, jangan sampai terlalu asyik bercinta sehingga melupaiNya. Mungkin itulah yang cuba diluahkan melalui teater yang dilakonkan secara monolog oleh pelakon hebat Fauziah Nawi.

Lakonannya memang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana berilah watak menangis, menjerit, marah, ketawa dan sebagainya, Fauziah yang membahasakan dirinya ‘ibu’ ini tidak pernah mengecewakan penontonnya lebih-lebih lagi penggemar teater.

Ketika menonton persembahan tersebut di stor teater yang hanya mampu memuatkan kira-kira 50 orang itu, hati terdetik, jika monolog ini dipentaskan di tempat yang besar seperti Istana Budaya, pasti luahan yang cuba disampaikan oleh ibu tua ini berjaya dikongsikan bersama ramai penggemar teater yang lain.

Walaupun monolog Cinta Julia pertama kali dilakonkan oleh wanita berusia pertengahan 50-an itu, namun jelas tampak 50 peratusnya luahan jiwa yang mempunyai kaitan dengannya itu lebih membantu kejayaannya.

Jelas Fauziah, antara babak-babak yang dipaparkan yang masih diingatinya sehingga sekarang adalah wanita yang bekerja mencuci kain ketika dia tinggal di rumah ibu saudaranya ketika zaman 60-an.

“Waktu itu, mereka hanya mendapat upah sebanyak RM20. Saya juga memasukkan memori ketika melihat wanita kabaret di tepi jalan depan rumah saya di Sungai Rokam, Perak,” tambah Fauziah yang turut mengangkat keadaan sosial sekarang.

Perjuangan wanita yang menghadapi keperitan dan kesusahan hidup turut menjadi tema kupasan monolog terbitan Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) dengan kerjasama DBP itu.

Melalui mimik muka sedih yang dipaparkan oleh pelakon berasal dari Ipoh, Perak ini, katanya, beliau memikirkan seksa dan kehidupan susah yang dialami oleh arwah bapanya.

“Namun, susah juga untuk menghasilkan apa yang saya persembahkan. Lagipun, sekarang saya dah tua dan ingatan saya juga tidak sekuat dulu lagi.

“Jadi, untuk memudahkannya, saya perlu melihat skrip setiap hari dan cuba berlatih selalu kerana bimbang tersilap.

“Sampai ketika saya menghadiri sesi penjurian uji bakat Raja Lawak musim ketiga di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur, saya tetap berlatih dan menyalin semula setiap skrip yang dihafal.

“Rasanya, semua bahagian dalam monolog tersebut membuatkan saya stres kerana saya perlu mula dari atas ke bawah.

“Saya juga perlu ingat karektor bapa dan ibu Julia, Julia, kekasih Julia dan jiran-jiran,” ujar Fauziah mengenai cabaran yang dialami ketika mempersembahkan monolog arahan dan olahan skrip oleh Iryanda Mulia Ramli.

Tambahnya, skrip yang ditulis oleh Mulia juga menyukarkan proses hafalannya kerana bahasa yang digunakan adalah bahasa puisi.

Menurut Fauziah, penonton yang hadir sebelum ini bukan sahaja dari kalangan muda-mudi, malah terdapat juga warga emas yang sudi menonton monolog lakonannya.

“Ketika show saya baru-baru ini, ada seorang wanita berumur yang datang sebab nak tengok saya berlakon.

“Dia juga berkata semua orang mesti bantu teater ini. Selain penonton yang sebaya dengan ibu, ada juga budak-budak sekolah yang datang manakala malam ini, sebuah bas dari Yayasan Seri Negara Perak turut memberikan sokongan,” tutur Fauziah dalam nada ceria.

Selain itu, terdapat juga beberapa rakan artis yang hadir semalam iaitu Vanida Imran, Uji Rashid, Cico Harahap, dan Sabri Yunus.

Pementasan monolog Cinta Julia masih boleh ditonton pada malam ini di stor teater, DBP dengan harga tiket RM 30 dan RM15 (pelajar).

Sebarang pertanyaan dan tempahan tiket, sila hubungi talian 012-6170697 (Farah), 012-2429621 (Chie) dan 017-6797151 (Mokhtar).

Mengenai perancangan akan datang, kata Fauziah, beliau mahu menghasilkan teater Tok Kura yang menggabungkan lakonan kanak-kanak dan orang dewasa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain