suria

Rumah Sudirman terbakar

Dua Pegawai Bomba dan Penyelamat melakukan siasatan ke atas rumah penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Sudirman Arshad yang musnah terbakar di Kampung Bukit Tok Embun, Mentakab.
Dua Pegawai Bomba dan Penyelamat melakukan siasatan ke atas rumah penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Sudirman Arshad yang musnah terbakar di Kampung Bukit Tok Embun, Mentakab.
Dua Pegawai Bomba dan Penyelamat melakukan siasatan ke atas rumah penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Sudirman Arshad yang musnah terbakar di Kampung Bukit Tok Embun, Mentakab.

TEMERLOH: Rumah penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Sudirman Arshad di Kampung Bukit Tok Embun, Mentakab dekat sini musnah dalam kebakaran kira-kira 4 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab, Penolong Penguasa Md Yusof Mustafa berkata, kebakaran itu dipercayai berpunca dari api lilin yang mungkin ditinggalkan oleh penagih dadah yang menjadikan rumah itu sebagai sarang menghisap dadah sejak ditinggalkan kosong beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, bomba pada mulanya menerima laporan mengenai kebakaran tiang elektrik pada jarak 15 meter dari rumah tersebut, tetapi setelah tiba di kawasan kejadian, pihaknya mendapati kepulan asap menyelubungi kawasan rumah tersebut.

"Semasa anggota bomba sampai ke rumah itu, kira-kira 90 peratus rumah berkenaan sudah hangus terbakar dan bahagian bumbungnya telah ranap," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, pihak forensik bomba masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kebakaran itu dan kerugian belum dapat ditaksirkan.

Sementara itu seorang jiran, Ramlah Daud, 43, berkata, beliau menyedari kebakaran rumah tempat Allahyarham Sudirman membesar, lebih kurang 4 pagi apabila terdengar bunyi letupan.

"Saya kemudian melihat percikan api terkena pada tiang elektrik berhampiran dan saya terus menghubungi bomba kerana bimbang kebakaran tiang elektrik itu merebak ke rumah kami dan beberapa rumah jiran yang lain," katanya.

Adik ipar Allahyarham Sudirman, Ahmad Nizam Hamid ketika ditemui tidak menolak kemungkinan rumah yang dibiarkan kosong itu menjadi sarang penagih dadah kerana pernah melihat kesan timah dan jarum di dalam rumah itu.

"Saya juga pernah membuat laporan polis mengenai kehilangan jeriji besi dan atap tahun lalu dan walaupun tidak pernah bertembung dengan penagih semasa membuat tinjauan tetapi terdapat kesan timah dan jarum," katanya.

Katanya, Allahyarham Sudirman dilahirkan di rumah di Jalan Ibrahim di bandar lama Temerloh dan kemudian berpindah ke rumah tersebut dan membesar di situ sehingga tamat sekolah menengah sebelum menyambung pelajaran di Universiti Malaya dalam jurusan Undang-Undang. BERNAMA

Artikel Lain