suria

Sosilawati tuntut cerai taklik Nash masih bersabar

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Desas-desus mengenai 'keretakan' hubungan penyanyi tersohor Nash Lefthanded dan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Sosilawati Lawiya kembali menghangatkan industri.

Sehari selepas Mahkamah Rendah Syariah telah memutuskan bahawa pasangan tersebut masih sah sebagai suami isteri, Nash dan isterinya mempunyai perancangan yang berbeza mengenai masa depan masing-masing.

Sosilawati khabarnya akan meneruskan niat untuk berpisah secara baik dengan membuat tuntutan cerai taklik atau meminta fasakh dalam masa terdekat ini di Mahkamah yang sama.

Menurut sumber terdekat dengan pasangan ini, ada cakap-cakap sumbang mengatakan Nash pula akan membuat 'tuntutan' tebus talak selepas dinasihati oleh beberapa orang.

Namun ketika dihubungi untuk bertanyakan kesahihan berita ini, Nash yang pada mulanya enggan memberi sebarang kenyataan, berkata:

"Saya tidak mahu memberi sebarang komen yang boleh mengeruhkan keadaan. Cukuplah dengan keputusan kes saya semalam. Saya baru nak bernafas.

"Biarlah perkara ini diselesai dengan baik seperti yang dituntut oleh agama kita. Saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar setakat ini," kata Nash.

Kata Nash lagi, "Soal tebus talak tak timbul langsung. Buat apa saya nak tebus talak? Saya ada maruah diri."

"Apapun saya akan ikut landasan yang betul..," jelas Nash mengakhiri perbualan.

Kisah Nash-Sosilawati menjadi tajuk hangat apabila pada Ogos lalu, Nash yang juga bekas vokalis kumpulan Lefthanded ini mendakwa beliau tidak pernah melafazkan cerai terhadap isteri keduanya itu.

Nash yang mengahwini Sosilawati pada 17 November 2006, bagaimanapun mengakui memang berlaku krisis rumah tangga antaranya dengan Sosilawati selepas kira-kira empat bulan mereka berkahwin.

Artikel Berikut

Artikel Lain