suria

Linda Onn serik jawab soalan peribadi

Linda Onn sudah serik bercerita soal cinta dan teman lelaki. -foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN
Linda Onn sudah serik bercerita soal cinta dan teman lelaki. -foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN
Linda Onn sudah serik bercerita soal cinta dan teman lelaki. -foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN

DALAM blognya di Erafm.com.my, penyampai radio Era, Linda Onn menulis seperti tidak ingin lagi diasak dengan persoalan cinta melainkan kisah kerjaya seni dan perniagaannya.

Hanya Linda sahaja yang memahami apakah maksud dia menulis sebegitu setelah dia membalas komen daripada seorang pembaca di salah sebuah akhbar perdana baru-baru ini.

Komen tersebut mengatakan "Sudah sudahlah Linda" -daripada bercerita tentang kisah cintanya selepas berpisah dengan pelakon Fahrin Ahmad dan lelaki pilihannya.

Linda pula membalas komen tersebut dengan panjang lebar bagi menjelaskan keadaan yang sebenar di mana dirinya juga berpesan kepada semua orang termasuk wartawan agar "sudah sudahlah" bertanya mengenai hal peribadinya.

Apakah Linda sudah mengambil keputusan tidak akan menjawab segala persoalan peribadi lagi selepas ini?

"Bukan begitu niatnya. Apabila membaca komen yang pendek itu saya sangat tertarik untuk membalasnya.

"Saya pun cakap juga sudah sudahlah kerana setelah membaca komennya saya pun nak terangkan kepada penulis itu termasuk orang lain juga.

"Mungkin orang lain akan terpengaruh dan bersetuju dengan apa yang saya ingin sampaikan. Jadi, saya pun dah terangkan dah harap semua orang faham," kata wanita berusia 30 tahun ini ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim Asrama Baitul Ummah di restoran miliknya, My Mom's Chicken Rice.

Selain itu, Linda juga bersumpah dalam blog tersebut yang dirinya masih lagi solo, tidak mempunyai kekasih atau lelaki istimewa dan sebolehnya ingin menamatkan zaman bujang.

"Saya bersumpah sebab dah penat nak jawab soalan orang bertanya sama ada saya sudah mempunyai pengganti atau tidak. Apabila saya cakap belum, mereka tak percaya pula.

"Saya hanya menulisnya secara bergurau," jawab Linda.

Bagaimana pula dengan gosip lelaki bergambar bersama Linda dalam satu majlis baru-baru ini?

Ada yang mengatakan jejaka itu adalah pengganti Fahrin.

"Dia hanyalah kenalan saya. Orang yang suka membuat andaian lebih-lebih. Jadi, lebih baik saya diamkan diri," ulas Linda.

Jadi, Linda sedang mengenali jejaka tersebut?

"Itulah masalahnya. Lebih baik kalau saya tidak memberikan apa-apa komen bagi mengelakkan andaian yang lebih-lebih nanti," tutur Linda serius.

Jika Linda tak beri komen atau mendiamkan diri pun, orang akan membuat andaian juga. Tukas Linda sambil tersenyum: "Tiada komen!"

Tambah Linda: "Sebab tu saya tak nak jawab lagi sebab sekali saya buka mulut, semakin banyak benda yang nak diceritakan dan benda ni takkan habis."

Jadi, bila cerita ini akan selesai?

Kali ini nada suara Linda semakin kuat menjawab "tiada komen" seolah-olah tidak mahu lagi ditanya tentang hal itu.

Selepas kisah Linda dan Fahrin tersiar di akhbar, pelbagai komen positif dan negatif yang terpalit kepada diri Linda.

Namun, Linda sendiri merasakan lebih banyak komen negatif berbanding positif yang dilemparkan kepadanya.

"Memang saya terasa yang media lebih banyak menulis cerita negatif tentang saya. Tetapi saya hanya berdoa dan memikirkan yang positif.

"Saya tak kisah selepas ini jika media hendak menghentam saya lagi atau tidak kerana saya tidak akan dedahkan kisah itu. Yang penting keluarga dan kawan rapat tahu tentang kebenarannya.

"Saya bersyukur kerana ada keluarga dan kawan-kawna yang memberi sokongan di depan dan di belakang saya," beritahu Linda lagi.

Linda disihir?

Sebelum itu, dalam blog Linda juga terdapat satu entri bertajuk "Benda 'asing' dalam kereta Linda" yang menceritakan dia terbau kemenyan apabila menekan tempat pembakar rokok dalam kereta BMW miliknya.

"Seperti yang tertera di dalam blog tu, saya bukanlah seorang perokok dan saya tidak pernah menekan tempat pembakar rokok itu.

"Jadi, baru-baru ini apabila kawan saya hendak merokok dan meminta saya menekan tempat pembakar rokok itu, kami tengok kemenyan tu seperti 'menggeledak'. Yang peliknya, benda tu ada dalam kedua-dua buah kereta saya.

"Saya baru perasan minggu lepas. Saya tak tahulah apa motif orang yang letakkan benda tu dalam kereta saya. Wallahualam...

"Seperti yang saya tulis dalam blog, saya beritahu kepada semua di dalam blog saya untuk memberi pengajaran dan kesedaran tentang perkara yang tidak baik itu," cerita pelakon filem Cicakman 2 ini.

Jadi, apakah tindakan Linda selepas ini?

"Saya sedang mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar ustaz tentang apakah yang saya patut lakukan serta bagaimana cara untuk membuang benda yang berbau kemenyan itu. Saya juga akan lebih berjaga-jaga kerana ini merupakan kali pertama saya terkena macam ini.

"Sebelum ini saya memang tak tahu dan tak sedar tentang benda itu. Nasib baiklah saya hanya terjumpa benda itu dan setakat ini ia tidak memudaratkan saya," ulas Linda.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain