suria

Kes cerai taklik Anis Suraya didengar semula 14 Okto

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 14 Oktober ini untuk mendengar semula permohonan tuntutan cerai taklik penyanyi Anis Suraya terhadap suaminya Wan Kasmizi Wan Kamaruddin.

Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek membuat keputusan itu selepas dimaklumkan bahawa mahkamah gagal menyerahkan saman kepada Wan Kasmizi untuk hadir ke mahkamah bagi perbicaraan hari ini.

Hakim turut mengarahkan supaya tugas menyerahkan saman itu dilakukan oleh pihak Anis Suraya menerusi peguamnya Mokhtar Abdullah.

"Saman ini perlu diserahkan kepada defendan kerana jika beliau tidak menerimanya, dia boleh membatalkan perbicaraan permohonan tuntutan cerai taklik ini.

"Bagaimanapun jika defendan tidak hadir selepas menerima saman itu, perbicaraan akan tetap dijalankan secara sebelah pihak," katanya.

Anis Suraya atau nama penuhnya Tengku Ani Soraya Tengku Sulaiman, 28, yang pernah popular menerusi lagu "Cinta Tersimpul Rapi" dan "Setiap Nafasku Keranamu" memfailkan permohonan tuntutan cerai taklik terhadap Wan Kasmizi, 28, pada 22 April lepas.

Anis Suraya dan Wan Kasmizi yang merupakan rakan sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman di sini, berkahwin pada 11 Sept 2006 di kediaman keluarga penyanyi itu di Ibai Golf Country Club di sini, dengan hantaran RM20,000 dan mas kahwin RM800.

Anis Suraya, adik kepada penyanyi, Tengku Shamsul Baharin atau Shawn Baharin, pernah terpilih ke pertandingan akhir Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1995 dan program Komposer. BERNAMA

Artikel Sebelum

Sazzy Falak bijak atur strategi

Artikel Berikut

Artikel Lain