ISTERI kepada pelakon Bruce Willis, iaitu Emma Heming, mendedahkan dia terpaksa memindahkan suaminya ke rumah berasingan bagi mendapatkan rawatan dan penjagaan profesional yang lebih rapi.
Emma, 47, mengakui langkah tersebut merupakan keputusan paling sukar yang pernah dibuat dalam hidupnya, namun ia perlu dilakukan demi kebaikan Bruce, 70, serta kebajikan dua anak perempuan mereka, Mabel, 13, dan Evelyn, 11.
“Keputusan ini bukan mudah, tetapi ia perlu demi memastikan semua orang termasuk anak-anak kami untuk berada dalam keadaan sebaik mungkin,” katanya.

Emma buat keputusan pindahkan Bruce demi kebaikan semua pihak.
Dalam temu bual eksklusif menerusi program The Unexpected Journey with Diane Sawyer, Emma menjelaskan Bruce kini tinggal di sebuah rumah satu tingkat yang lengkap dengan pasukan penjagaan sepenuh masa.
Emma turut menggambarkan kunjungan mereka sekeluarga sebagai momen berharga yang memberi peluang untuk terus menjalinkan hubungan emosi dengan suaminya, meskipun dalam keadaan serba terbatas.
“Setiap kali kami datang melawat, kami sama ada duduk di luar rumah atau menonton filem bersama.
"Apa yang penting adalah peluang untuk berada di sisi Bruce dan berhubung dengannya walau dalam apa jua cara," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Setahun sukar berkomunikasi, Bruce Willis rupanya derita demensia
ARTIKEL BERKAITAN: Bruce Willis jual rumah RM23 juta, mahu pindah ke West Coast
Bercerita lanjut, Emma turut berkongsi suasana di kediaman baharu Bruce yang disifatkan sangat positif.
Malah Emma menyatakan hasrat untuk mengetahui keadaan sebenar Bruce sama ada dia berasa selesa, takut atau bimbang kerana apa yang paling diinginkan adalah peluang untuk berbual dengannya sekali lagi.
“Ia rumah yang dipenuhi kasih sayang, kehangatan dan gelak ketawa. Saya terharu melihat ramai rakan Bruce masih datang menjenguk… mereka bawa kehidupan dan semangat ke dalam rumah itu.
“Pada masa sama saya ingin tahu sama ada dia okay, jika dia rasa selesa… kalau dia takut atau bimbang, saya mahu tahu. Saya cuma mahu dapat berbual dengannya lagi," jelasnya.

Bruce ditempatkan di sebuah rumah satu tingkat yang lengkap dengan pasukan penjagaan sepenuh masa.
Bruce sebelum ini disahkan menghidap frontotemporal dementia (FTD) pada awal tahun 2023 iaitu sejenis penyakit neurodegeneratif yang menjejaskan bahagian otak yang mengawal personaliti, tingkah laku, emosi dan bahasa.
Penyakit itu juga boleh menyebabkan perubahan drastik dalam keupayaan berkomunikasi serta kehilangan daya ingatan secara berperingkat.
Untuk rekod, Bruce Willis turut mempunyai tiga anak perempuan hasil perkahwinan terdahulunya dengan pelakon Demi Moore, iaitu Rumer, 37, Scout, 34, dan Tallulah, 31.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


