suria

Pelakon Twilight, Gregory Tyree Boyce dan teman wanita ditemui mati di kediamannya

Pasangan kekasih ini ditemui meninggal dunia bersama serbuk putih yang belum dikenal pasti.

PELAKON siri Twilight Gregory Tyree Boyce dan teman wanitanya ditemui mati di kediaman mereka di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat.

Pejabat Pemeriksa Perubatan Las Vegas mengesahkan Boyce, 30, dan teman wanitanya Natalie Adepoju, 27, ditemui mati pada 13 Mei lalu bagaimanapun, punca kematian belum dikenal pasti.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi kes bintang Kpop ditemui mati... Cha In Ha tinggalkan mesej terakhir di Instagram

Memetik laporan TMZ, serbuk putih turut dijumpai di tempat kejadian, namun pihak berkuasa masih belum mengesahkan hal itu.

Boyce dikenali dengan wataknya sebagai Tyler Crowley dalam Twilight, siri pertama filem tersebut.



Boyce dan teman wanitanya, Adepoju ditemui mati di kediaman mereka di Las Vegas pada 13 Mei lalu.

Di dalam filem tersebut, Crowley yang sedang memandu hampir melanggar Bella Swan, lakonan Kristen Stewart, sebelum diselamatkan oleh Edward Cullen yang dilakonkan oleh Robert Pattinson.

Boyce juga pernah membintangi filem Apocalypse pada tahun 2018.

Sumber E! News pula melaporkan sepupu Boyce yang bangun dari tidur ternampak keretanya masih di rumah.

Menurutnya, Boyce sepatutnya berada di Los Angeles pada waktu itu. Risaukan keadaan Boyce, sepupunya mencari Boyce di dalam kondominium tersebut dan menemui mayatnya.

Pelakon itu pindah ke Las Vegas untuk membantu ibunya, tapi berulang-alik ke Los Angeles untuk berlakon di samping berjumpa dengan anak perempuannya, Alaya, yang berusia 10 tahun.

Boyce dan teman wanitanya dilaporkan telah menjalinkan hubungan selama setahun.

Pada Disember tahun lalu, Boyce menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30 dengan berkongsi entri tentang kehidupannya di laman Instagram.

"Pada satu tahap, saya tidak terfikir saya akan mencapai usia 30 tahun," tulisnya.

"Selama bertahun-tahun, saya telah melakukan terlalu banyak kesilapan tetapi hari ini adalah antara hari yang akan saya kenangkan momen yang baik. Selamat ulang tahun ke-30 untuk diri ini. Mari jadikan tahun-tahun akan datang tahun yang terbaik!," kata Boyce dalam entri tersebut.

Sementara itu, Ibu Boyce, Lisa Wayne, meluahkan perasaan sedih di laman Facebook pada Ahad.

Wayne mendedahkan anaknya mempunyai cita-cita untuk memulakan bisnes kepak ayam yang dibantu oleh teman wanitanya, Adepoju.

"Kami sepatutnya bertemu pada Selasa bersama ayah saya untuk membincangkan perancangan masa hadapan, tetapi nampaknya ia tidak akan berlaku," tulisnya.

Wayne bertemu Boyce untuk kali terakhir pada 11 Mei lalu untuk meluangkan masa dan menyambut Hari Ibu.

Sumber: Daily Mail

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Gregory Tyree Boyce, Twilight

Artikel Lain

Kes Covid-19 dijangka meningkat - KJ