suria

Paramore bakal dibubarkan... Hayley Williams belum tahu perjalanan masa depan

Hayley masih belum tahu perjalanan masa depan Paramore. Foto: ALTPress

VOKALIS kumpulan Paramore iaitu Hayley Williams seakan memberi bayangan gabungan band tersebut bakal berakhir tidak lama lagi.

Menurut laporan ALTPress, Hayley memberitahu dia masih belum mengetahui perjalanan kumpulan itu pada masa akan datang.

"Saya masih belum tahu bagaimana Paramore pada masa depan.

"Saya baru sahaja makan malam bersama dua lagi anggota iaitu Taylor York dan Zak Farro di rumah dan kami benar-benar menikmati momen sebagai teman tanpa muzik," katanya.

Hayley berkongsi mengenai perkara itu semasa wawancara media di Beautycon Festival di Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyanyi lagu The Only Exception ini berkata dia lebih banyak menghadiri acara membabitkan jenama produk kecantikan.

Bagaimanapun dia masih mahu dikenali dan diingati sebagai seorang pemuzik.

"Saya tak mahu orang lupa yang saya adalah anak seni pemuzik. Muzik membentuk saya semasa awal kemunculan, walaupun ramai melihat saya berada di dunia kecantikan seperti hari ini," katanya.

Sebelum ini, pelbagai khabar angin muncul kononnya kumpulan ini bakal dibubarkan.

Namun, ketiga-tiga ahli berkenaan tidak memberikan kenyataan jelas berhubung dakwaan tersebut.

SUMBER: ATLPress

Paramore

Artikel Lain