suria

Mariah Carey jual cincin tunang RM8.4 juta

Mariah Carey dilaporkan sudah menjual cincin pertunangannya dengan James Packer dengan harga RM8.4 juta.

PENYANYI Mariah Carey dilaporkan menjual cincin pertunangannya dengan jutawan Australia, James Packer dua tahun selepas hubungan mereka berakhir.

New York Post melaporkan Mariah menjual cincin itu di sebuah kedai emas di Los Angeles dengan harga US$2.1 juta (RM8.4 juta) walaupun harga asal cincin 35 karat itu dilaporkan bernilai US$10 juta (RM40 juta).

Sebelum ini, James meminta Mariah memulangkan cincin tersebut namun menerusi satu penyelesaian Mariah dilaporkan meminta James membayar US$50 juta (RM200 juta) kerana telah membuang masanya sepanjang tempoh pertunangan mereka.

Mariah dan James berpisah pada Januari tahun lalu.

Selain cincin tersebut, James turut membayar wang pampasan berjumlah US$10 juta (RM40 juta) kepada Mariah.

Mariah, 48 yang bakal mengadakan konsert buat kali ketiga di Malaysia pada Oktober depan bertemu James, 50, pada 2014 sebelum menjalinkan hubungan cinta pada Jun tahun berikutnya.

Pasangan itu bertunang pada Januari 2016 sebelum berpisah setahun kemudian.

Mariah kini bercinta dengan penari, Bryan Tanaka.

Sementara itu, pihak pengurusan penyanyi lagu Hero itu menyangkal dakwaan tindakan Mariah menjual cincin itu kerana mengalami masalah kewangan.

"Mariah sangat terbuka akhir-akhir ini tentang perancangannya untuk terus memandang ke hadapan tanpa memikirkan masa lampau.

"Dia sangat positif dengan kehidupan dan dia menjual cincin itu adalah tanda dia sudah melupakan episdo sedih itu dalam hidupnya dan bukannya kerana dia mengalami masalah kewangan," kata wakil Mariah.

Untuk rekod, sepanjang 28 tahun kariernya sebagai penyanyi, Mariah dilaporkan mempunyai nilai kekayaan sebanyak US$1 bilion (RM4 bilion).

Mariah Carey, James Packer

Artikel Lain