suria

Kutipan 'Beauty and the Beast' Cecah RM4.4 Bilion

Filem Beauty and the Beast mencatatkan kutipan RM4.4 bilion di pawagam seluruh dunia.

NAMPAKNYA kontroversi yang melanda Beauty and the Beast telah memberi kelebihan kepada filem itu apabila ia mencatatkan kutipan tiket sebanyak AS$1 bilion (RM4.4 bilion) sejak ia ditayangkan pada Mac lalu.

Forbes melaporkan filem arahan Bill Condon itu kini tersenarai sebagai 29 karya yang mencatatkan kutipan melebihi AS$1 bilion termasuk Titanic, Avatar, Alice in Wonderland dan Zootopia.

Filem itu terpalit dengan kontroversi apabila Bill mendedahkan kepada majalah Attitude di United Kingdom bahawa karekter Le Fou dilakonkan oleh Josh Gad adalah seorang gay.

Ia mendapat reaksi pelbagai daripada penggemar filem itu malah sebuah panggung wayang di Alabama, Amerika Syarikat turut mengharamkan filem itu daripada ditayangkan.

Rusia turut melarang kanak-kanak dibawah usia 16 tahun daripada menonton filem itu.

Ia menampilkan bintang terkenal Emma Watson sebagai Belle, Dan Stevens (Beast) dan Luke Evans (Gaston).

Beauty And The Beast adalah filem animasi klasik Disney yang turut dicalonkan dalam Anugerah Akademi menerusi kategori Filem Terbaik pada 1991.

Sementara itu, Malaysia juga mengambil langkah menangguhkan tayangan filem itu selepas pihak berkuasa mahu mengeluarkan adegan gay dalam filem itu.

Bagaimanapun Beauty and the Beast akhirnya ditayangkan tanpa sebarang potongan pada 30 Mac lalu di Malaysia.

Filem itu diluluskan untuk tayangan di Malaysia dan diletakkan di bawah Klafisikasi PG13 (Kanak-kanak di bawah 13 tahun tidak dibenarkan melainkan ditemani oleh seorang dewasa).

Beauty and the Beast

Artikel Lain