suria

Selepas 15 Tahun CSI Akhirnya Tutup Tirai

Hero asal siri CSI, William Petersen akan membuat kemunculan semula dalam episod terakhir siri itu September nanti.

SELEPAS 15 tahun ke udara, CSI: Crime Scene Investigation, yang disifatkan sebagai siri televisyen paling popular dan paling banyak ditonton di seluruh dunia akan melabuhkan tirainya menjelang 27 September nanti.

Penerbit siri tersebut, CBS telah membuat keputusan untuk menamatkannya.

Siri terakhir nanti akan ke udara pada 27 September di Amerika Syarikat selama dua jam dengan kemunculan semula pelakon asalnya, William Petersen, sebagai Dr Gilbert “Gil” Grissom.

Kehadiran Petersen dalam episod terakhir CSI itu akan turut diiringi oleh orang kanannya, Marg Helgenberger, yang melakonkan watak Catherine Willows selama 13 tahun.

CBS membuat keputusan untuk menamatkan siri itu setelah jumlah penontonnya jatuh kepada 11 juta sahaja berbanding 26 juta penonton di Amerika dan lebih 63 juta orang di seluruh dunia ketika kemuncak kegemilangannya.

Ted Danson, yang mengepalai skuad CSI sekarang sebagai DB Russell, akan mengetuai siri baru CSI: Cyber.

CSI: Cyber buat masa ini ditonton sekitar 11 juta penonton sahaja sama sepertimana episod CSI sekarang.

Eksekutif CBS, Kelly Kahl mengesahkan keputusan untuk menamatkan siri CSI itu.

CSI telah mencatat rekod sebagai siri televisyen yang ketujuh paling lama bertahan dalam sejarah siri televisyen di Amerika tetapi merupakan yang paling banyak ditonton di seluruh dunia.

Berlatarbelakangkan suasana tempat jenayah di Las Vegas, CSI: Crime Scene Investigation dilancarkan oleh CBS pada 2000 memberikan sesuatu yang berlainan yang belum pernah dieksploitasikan oleh mana-mana siri televisyen sebelum ini.

Ia menjadikan sains forensik sebagai satu subjek yang menarik dan ingin diketahui secara mendalam oleh orang ramai.

Namun apa yang menjadikannya lebih popular ialah cara ia mempermudahkan kompleksiti sains sebagai satu subjek yang boleh difahami oleh orang ramai.

Antara 2005 hingga 2012, ia mencatat sejarah sebagai siri televisyen yang paling ramai ditonton di seluruh dunia dengan jumlah penonton mencapai 75 juta orang.

Ia kemudiannya berkembang menjadi dua siri cabang iaitu CSI: Miami yang dibintangi David Caruso dan CSI: New York.

Untuk seketika CSI: Miami mengambil tempat CSI: Las Vegas sebagai siri yang paling ramai ditonton di seluruh dunia.

Bagaimanapun kedua-duanya ditamatkan penerbitannya tiga tahun yang lalu - meninggalkan CSI: Las Vegas sebagai satu-satunya siri yang masih bertahan sehingga ke hari ini.

Namun nampaknya selepas 335 episod, CSI original juga terpaksa menutup tirai.

Ia telah menyaksikan kemunculan pelbagai bintang ternama daripada Laurence Fishburne, Elisabeth Shue sehinggalah kepada Ozzy Osbourne, Justin Bieber, Ann-Margret, Faye Dunaway, Quentin Tarantino, Tippi Hedren, Taylor Swift serta Roger Daltrey turut mengambil bahagian dalam menjayakannya.

Artikel Lain