suria

Kim Hyun Joong Mengaku Cederakan Kekasih

Hyun Joong bercakap kepada media selepas disiasat selama empat jam oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan mencederakan teman wanitanya yang dikenali sebagai A.
PELAKON dan penyanyi Kim Hyun Joong membuat pengakuan terhadap tuduhan mencederakan teman wanitanya semasa memberi keterangan kepada pihak berkuasa pada Rabu lalu.

Portal Soompi melaporkan, kejadian itu berlaku semasa mereka bertengkar namun pelakon drama Boys Over Flower itu menafikan kejadian itu berulang seperti mana didakwa oleh wanita yang dikenali sebagai A itu.

"Memang berlaku kekasaran secara fizikal semasa kami bertengkar namun kejadian itu tidak berulang," kata Hyun Joong.

Hyun Joong yang berada di luar negara untuk konsert jelajah dunianya kembali ke Seoul, Korea Selatan selepas pihak berkuasa memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.

Teman wanitanya sebelum ini mendakwa Hyun Joong mencederakannya sebanyak dua kali dalam kejadian berbeza iaitu sekitar Mei dan Julai lalu.

A mendakwa semasa kali pertama mangsa dibelasah oleh teman lelakinya itu dia terpaksa mendapatkan rawatan selama dua minggu di hospital namun memaafkan perbuatannya.

Bagaimanapun kejadian kedua yang menyebabkan tulang rusuk mangsa patah membuatkan wanita berkenaan tidak mahu berdiam diri terhadap pengniayaan dilakukan penyanyi itu.

Ekoran kenyataan kedua-dua belah pihak berbeza, pihak polis akan terus melakukan siasatan dan sekiranya disabitkan kesalahan Hyun Joong boleh dipenjara selama tujuh tahun atau dikenakan denda sebanyak USD$10,000 (RM30,000).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain