suria

Mick Jagger Masih Kebingungan Kematian Kekasihnya Akibat Bunuh Diri

Mendiang L'Wren Scott & Mick Jagger
NEW YORK: Penyanyi Rolling Stones, Mick Jagger masih tidak dapat memahami mengapa kekasihnya, L'Wren Scott, mengambil nyawanya sendiri pada Isnin ketika dia sedang bersiap sedia untuk mengadakan konsert jelajah seluruh Australia yang sepatutnya bermula malam ini di Perth.

Menyifatkan L'Wren sebagai "rakan karib dan kekasih hati", Jagger mengakui dia masih buntu memikirkan apakah punca yang menyebabkan  kekasihnya itu membunuh diri.

Jagger berkata demikian dalam laman Facebooknya dan mengumumkan yang Rolling Stones terpaksa membatalkan tujuh konsert jelajah seluruh Australia dan New Zealand yang dinamakan "14 on Fire," ekoran kematian L'Wren.

L'Wren ditemui mati di apartmennya di tengah-tengah bandar ini pada Isnin dipercayai membunuh diri.

Akhbar terkemuka the New York Times melaporkan yang L'Wren berada dalam keadaan minda yang tidak stabil sejak beberapa hari lalu.

Bekas penulis ruangan fesyen akhbar tersebut, Cathy Horyn, yang juga rakan L'Wren menulis dalam laman web akhbar tersebut bahawa mendiang merancang untuk mengumumkan pada Rabu penutupan bisnesnya kerana masalah kewangan yang dia hadapi.

Bulan lalu, L'Wren telah membatalkan pertunjukan fesyennya yang dijadualkan berlangsung di London tanpa alasan yang kukuh.

Tetapi akaun syarikatnya menunjukkan liabiliti aset yang sedang ditanggung telah melebihi AS$5.9 juta sehingga 31 Disember 2012.

Fesyen rekaan L'Wren menjadi kegemaran dan pilihan bintang-bintang Hollywood seperti Nicole Kidman, Olivia Wilde, Tina Fey, Sarah Jessica Parker dan ramai lagi termasuklah Wanita Pertama, Michelle Obama.

Baru-baru ini syarikatnya bekerjasama dengan jenama Banana Republic untuk menghasilkan rekaan yang lebih mampu milik oleh orang kebanyakan.

Jagger menulis dalam facebooknya: "Kami telah melalui kehidupan pahit manis bersama dan dia adalah seorang yang sangat berbakat. Saya masih tidak faham mengapa L'Wren sanggup menamatkan riwayat hidupnya begini tetapi saya tidak akan sama sekali melupakannya.


Artikel Lain