suria

Model Perladangan Getah Untuk Pribumi Beri Manfaat

MELAKA: Model Perladangan Getah Untuk Pribumi (GUP) memberi manfaat kepada 519 pekebun kecil getah yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli di Semenanjung dan pribumi di Sabah dan Sarawak terutamanya dalam usaha meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata GUP yang diwujudkan sejak 2012 itu melibatkan pekebun kecil di lapan buah negeri dengan keluasan kebun keseluruhan 655.4 hektar.

“Mereka (Orang Asli dan pribumi) ini diberi bimbingan khas melalui program ini (GUP) yang bermula 2012 hingga 2021 bila mana kita mengharapkan (program ini) berjaya hasilkan pekebun kecil yang profesional untuk mendapatkan hasil getah bermutu tinggi sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

Memang banyak usaha kerajaan membantu masyarakat Orang Asli dan pribumi ini, Dalam GUP melalui  LGM (Lembaga Getah Malaysia), kerajaan peruntuk RM27.4 juta, kita harapkan program ini menjadi perintis kepada program lain untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Model Perladangan Getah Untuk Pribumi di Ayer Keroh di sini anjuran LGM.  Sebanyak 15 kertas kerja dibentangkan bagi meningkatkan  kemahiran kira-kira 100 pekebun kecil getah yang menyertai seminar tersebut.

Turut hadir Pengerusi LGM Tan Sri Dr Muhammad Leo Toyad.

Lapan negeri yang terlibat dengan program GUP itu ialah Sabah, Sarawak, Kelantan, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

Mengulas perkembangan program GUP itu, Datu Nasrun berkata tanaman getah di lokasi projek GUP itu pada masa ini telah berumur lima tahun dan berada pada fasa permulaan pokok getah dewasa.

“Pada fasa dewasa, pokok getah ini boleh dibuka toreh oleh pekebun yang terlibat. Pada masa ini pengeluaran getah peringkat nasional adalah pada 1,410 kilogram setiap hektar untuk tempoh setahun.

Dengan adanya pelbagai program termasuk GUP ini, kita harap dapat tingkatkan pengeluaran kepada 1,800 kilogram setiap hektar setahun menjelang tahun 2020,” katanya.

Artikel Sebelum

Ahmad Hizzad Khidmat Semula Di BNM

Artikel Lain