suria

Celcom Akan Guna Pakai Perkhidmatan Komunikasi Terkini Google

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd mengumumkan akan menggunakan platform menyeluruh Google untuk memodenkan khidmat pesanan pengendali di Android dengan Rich Communication Service (RCS).

Celcom dalam satu kenyataan hari ini berkata perkhidmatan baharu itu akan tersedia di peranti menggunakan Android Messages sebagai aplikasi pemesejan lalai dan disokong oleh rangkaian kukuh Celcom.

"RCS ialah contoh terbaharu dalam usaha Celcom membawakan inovasi kepada pelanggannya. Android Messages dilihat sebagai pemesejan masa hadapan, menggantikan teks khidmat pesanan ringkas dengan ciri-ciri kumpulan chat, perkongsian foto resolusi tinggi dan penerimaan baca," kata Celcom.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Michael Kuehner berkata pelanggannya akan mendapat manfaat besar daripada pelancaran RCS kerana ia menyediakan khidmat pesanan baharu yang akan meningkatkan lagi pengalaman digital mereka.

"Celcom berbangga menjadi penyedia rangkaian pertama di Malaysia bekerjasama dengan Google di RCS.

"Kami berharap dapat menginovasi dengan Google bagi menyediakan perkhidmatan baharu di platform pemesejan dalam masa terdekat ini," katanya. -- Bernama



Celcom, Google

Artikel Sebelum

Artikel Lain