suria

45 Peratus Kontrak Projek LRT 3 Kepada Syarikat Bumiputera - Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 45 peratus daripada jumlah kontrak Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) yang bernilai RM9 bilion kepada syarikat bumiputera menerusi inisiatif 'carve out and compete'.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menerusi inisiatif ini syarikat bumiputera yang berkelayakan harus bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan kontrak bagi projek berkenaan, berlandaskan merit.

"Ini (kontrak) bukanlah dianugerahkan mengikut sesuka hati, mereka (syarikat bumiputera) mestilah membuktikan kemampuan dan pertimbangan akan dibuat berasaskan merit," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera, di sini, Rabu.

Najib berkata pakej LRT 3 daripada kerja sivil and sistem termasuklah jejambat dan bangunan parkir melibatkan sembilan pakej, laluan terowong bawah tanah (satu pakej), depot kereta (dua pakej), depot bas (tiga pakej), kerja-kerja sistem, pembekalan bahan-bahan binaan dan lain-lain.

Beliau berkata kontraktor bumiputera G2 hingga G7 di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berpeluang mengambil bahagian dalam empat kategori utama. 

Menurutnya, daripada empat kategori utama ini, 120 pakej subkontrak bagi keseluruhan kerja sivil bernilai RM60 juta akan diperuntukkan kepada kontraktor bumiputera gred G2-G4.

Bagi kontraktor Gred G5-G6 pula, mereka berpeluang membida 64 pakej bernilai RM240 juta dalam kerja sivil manakala beberapa pakej utama bernilai RM2.5 bilion termasuk pembinaan jejambat dan stesen keretapi diperuntukkan kepada kontraktor gred G7.

Kerja-kerja sistem dan bahan binaan lain yang dianggarkan sebanyak RM1.25 bilion akan turut diperuntukkan, katanya.

Menurut Perdana Menteri, inisiatif 'carve out and compete' yang dikelolalan di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) setakat ini telah merekodkan pencapaian amat memberangsangkan dan terbukti membantu meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pelbagai projek mega.

"Peluang dalam Projek LRT 3 ini adalah hasil usaha sama antara Prasarana Malaysia Bhd dan MRCB-George Kent Sdn Bhd selaku 'Rakan Penyediaan Projek', serta sokongan Teraju dan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya," katanya.

Najib mengambil contoh kejayaan insiatif 'carve out and compete' dengan menyatakan jumlah projek untuk syarikat bumiputera di bawah projek transit aliran massa (MRT) laluan 1 dan 2 adalah melebihi 45 peratus dengan nilai lebih kurang RM22.4 bilion.

Menurutnya lagi, Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak juga telah memperuntukkan sebanyak RM8 bilion atau 53 peratus daripada nilai keseluruhan projek kepada syarikat bumiputera.

"Setakat ini, saya difahamkan inisiatif itu telah berjaya mencipta nilai keseluruhan berjumlah RM50.8 bilion menerusi pelbagai projek mega yang telah dikenalpasti.

"Dengah adanya inisiatif seperti ini, kita harap akan dapat melihat lebih ramai usahawan bumiputera di seluruh negara untuk terus bergerak maju dan berdaya saing," katanya.--Bernama

LRT, Najib, Bumiputera

Artikel Lain