suria

Wan Ahmad Shabri Dilantik Ketua Pengarah Risda Baharu

KUALA LUMPUR: Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad dilantik sebagai Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang baharu berkuat kuasa 22 Mac yang lalu.

Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pelantikan Wan Ahmad Shabri adalah bagi menggantikan Mohd Najib A. Samad yang tamat perkhidmatannya pada 21 Mac.

"Saya percaya dengan kemampuan dan kecemerlangan kerja yang ditunjukkan oleh beliau selama ini dapat meletakkan RISDA pada satu aras yang lebih cemerlang dalam usaha meningkatkan serta memartabatkan pekebun kecil di Malaysia," katanya pada majlis perhimpunan bulanan di Auditorium Sultan Ahmad Shah, Ibu Pejabat RISDA pada Selasa.

Pada majlis sama, RISDA turut melancarkan buku panduan Pengenalpastian Klon Getah yang bertujuan meningkatkan tahap kemahiran dalam mengenali dan membezakan sifat-sifat pada klon yang disyorkan kepada pekebun kecil.

Zahidi berkata buku itu amat penting dalam mendedahkan pegawai dan kakitangan RISDA tentang panduan pengenalpastian klon yang disyorkan kepada pekebun kecil.

"Hasilnya hanya klon-klon getah yang terbaik sahaja dibekalkan kepada pekebun kecil tanpa keraguan.

"Sebenarnya kalau ingin lebih maju klon-klon getah yang terbaik ini boleh dijual di luar negara tetapi untuk melindungi industri getah ini tumpuan utama diberikan dalam negara," tambahnya. - BERNAMA

Risda

Artikel Lain