suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Proton Dijangka Umum Rakan Strategik Asing April Ini

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot (dua, kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali (dua, kiri) bergambar bersama enjin 1.6L Turbo yang disumbangkan oleh Proton kepada Akademi Saga pada majlis Graduasi Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia dan Pelancaran Sistem Latihan Dual Nasional, Khamis.

SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd (Proton) berharap dapat mengumumkan rakan strategik asingnya pada April ini atau selewat-lewatnya akhir Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata setakat ini, tiga syarikat sudah disenarai pendek dan sedang menjalankan proses sewajarnya membabitkan Proton.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan atau memberi sebarang petunjuk berhubung identiti ketiga-tiga syarikat automotif terbabit atau negara asal masing-masing.

"Ini merupakan satu transaksi sukar bagi sebuah industri kompleks yang sudah semestinya akan memakan masa.

"Malah, apabila mereka mengemukakan cadangan masing-masing pada kemudiannya, kami masih perlu melakukan pelbagai proses penilaian, penjelasan serta mungkin juga rundingan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, Khamis selepas Proton menerima akreditasi sebagai pusat sehenti program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diiktiraf Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi tujuan latihan kemahiran dalam bidang automotif.

Proton ketika ini melaksanakan proses permintaan untuk cadangan mencari rakan strategik yang boleh menyediakan aspek strategik, operasi dan budaya secara tetap dengan matlamat untuk mengembangkan perniagaan automotifnya.

Ahmad Fuaad berkata Proton dijangka menerima cadangan lengkap daripada pihak  berkenaan mulai Februari ini dan akan membuat pengumuman selepas pemilihan akhir itu dilakukan.

"Mungkin juga kami perlu mengadakan rundingan lanjut sebelum membuat keputusan muktamad. Namun, adalah diharapkan majlis menandatangani (persetujuan) itu dapat dilakukan sebelum akhir separuh pertama tahun ini," katanya.

Jelasnya, urus niaga itu turut membabitkan Proton sebagai satu kumpulan, termasuk Lotus Group yang juga unit milik penuhnya.

Selain itu, mengulas program SLDN berkenaan, Ahmad Fuaad menyifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap komitmen Proton bagi membangunkan serta melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran, sejajar matlamat kerajaan untuk mentransformasi sistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional negara.

"Sebagai pengeluar kereta nasional, tanggungjawab kami bukan setakat membina kereta tetapi juga menjadi antara penggerak utama pembangunan modal insan," katanya.-- Bernama

Proton, Ahmad Fuaad Kenali

Artikel Lain