suria

Dua Lagi Kedai FamilyMart Akan Dibuka Menjelang Akhir Tahun

KUALA LUMPUR: Syarikat makanan pertanian, QL Resources Bhd yakin dapat membuka 300 outlet FamilyMart di Malaysia dalam tempoh lima tahun dengan membuka dua lagi outlet pada akhir tahun.

Pengarah Eksekutif, Chia Lik Khai berkata, dua kedai baharu terlibat akan dibuka di Stesen Transit Aliran Massa Taman Tun Dr Ismail dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. 

"Dengan dua outlet baharu itu, di samping kedai pertama di Wisma Lim Foo Yong yang dibuka pada 11 November dan outlet di Mid Valley, kita akan mempunyai empat kedai menjelang akhir tahun," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran outlet di Mid Valley di sini, Jumaat.

FamilyMart adalah antara rantaian kedai serbaneka terbesar Jepun dan anak syarikat QL Resources, iaitu Maxincome Resources Sdn Bhd memegang hak francais FamilyMart di Malaysia. 

Chia berkata, FamilyMart mempunyai kira-kira 2,500 jenis barangan di setiap kedai, di mana kira-kira 500 diimport dari Jepun, Korea Selatan, AS, Australia dan Taiwan.

FamilyMart secara beransur-ansur akan menawarkan perkhidmatan penghantaran dan kutipan bungkusan serta fotokopi mulai Januari depan, bergantung kepada saiz dan lokasi setiap outlet," katanya.

Mengenai penyusutan ringgit, beliau berkata, walaupun ia akan meningkatkan kos barangan import, ia tidak akan menjejaskan jualan FamilyMart. 

"Setiap kedai mengambil tiga hingga lima tahun untuk pulang modal," katanya.

Tempoh itu adalah sama dengan outlet FamilyMart di Jepun, kata Pengarah Perwakilan dan Presiden FamilyMart Co. Ltd, Tak Sawada yang turut hadir pada majlis berkenaan. 

Mengenai produk halal, Chia berkata, makanan tempatan yang dijual di kedai itu disediakan daripada ramuan halal di kilang yang mula beroperasi dua bulan lepas.

Kini kami sedang memohon pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, manakala barangan import pula ditapis dengan teliti," katanya.-- Bernama

FamilyMart

Artikel Sebelum

TV 4K Samsung Semakin Popular

Artikel Berikut

Artikel Lain