suria

Malindo Air Tawar Penerbangan Tambahan Untuk Hari Raya

KUALA LUMPUR: Malindo Air akan menambah frekuensi penerbangan bagi semua rangkaian domestik untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Malindo Air berkata, frekuensi itu akan berkuat kuasa sempena cuti 'Balik Kampung' hari raya mulai 1 Julai depan.

"Laluan domestik baharu ialah dari KLIA ke Kota Baharu (21 kali seminggu) dan KLIA ke Miri (7 kali seminggu). Malindo Air juga telah menambah penerbangan di antara KLIA dan Kota Kinabalu (35 kali seminggu); KLIA dan Kuching (28 kali seminggu) dan KLIA ke Pulau Pinang (28 kali seminggu).

"Untuk mereka yang ingin bercuti hari haya di luar negara, Malindo Air juga menambah frekuensi ke laluan antarabangsa dari KLIA ke Don Mueang (Bangkok), Jakarta dan Dhaka," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Chandran Rama Muthy berkata, syarikat penerbangan itu berupaya memperkenal perkhidmatan baharu serta menambah frekuensi berikutan penerimaan dua lagi pesawat baru-baru ini.

Selain itu, jualan promosi tengah tahun Malindo Air juga akan menawarkan tambang serendah RM19 sehala, termasuk elaun bagasi penumpang 40 kilogram untuk kelas bisnes dan 30 kilogram untuk kelas ekonomi, makanan dan minuman ringan serta hiburan dalam penerbangan.

Tempoh jualan akan bermula 15 hingga 30 Jun untuk perjalanan mulai 15 Jun hingga 31 Oktober. 

Artikel Lain