suria

Bina Puri Jangka Raih RM18.12 Juta Menerusi IPO Megapower

KUALA LUMPUR: Bina Puri Holdings Bhd dijangka meraih sehingga RM18.12 juta menerusi cadangan penyenaraian anak syarikat tidak langsungnya dengan kepentingan 80 peratus, PT Megapower Makmur Tbk, di Bursa Saham Indonesia.

Megapower sudah mengemukakan cadangan untuk melaksanakan langkah tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan penerbitan 300 juta saham-saham baharu yang mewakili 30.93 peratus daripada modal berbayar dan terbitannya.

Sasaran harga terbitan adalah sekitar RM0.0453 dan RM0.0604 sesaham.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bina Puri berkata hasil penyenaraian itu akan digunakan untuk modal kerja dan pembayaran pinjaman melibatkan anak syarikatnya, Bina Puri Power Sdn Bhd (BP Power).

"Perolehan modal kerja itu akan digunakan bagi membiayai aspek kewangan harian perniagaan Megapower yang sedia ada seperti kos pekerjaan, pentadbiran am dan perbelanjaan operasi," kata syarikat itu.

Bina Puri berkata cadangan penyenaraian itu akan membolehkan Megapower mendapat akses langsung ke atas pasaran modal di Indonesia bagi usaha pengumpulan modal secara kos efektif pada masa depan selain mendapat pengiktirafan dari segi korporat.

Penyenaraian itu juga turut memberi peluang kepada para pelabur untuk terbabit sama dalam pertumbuhan Megapower menerusi penyertaan ekuiti, katanya.

Artikel Lain