suria

Uda Rancang Bangunkan Perumahan Untuk Golongan Pesara

PORT DICKSON: UDA Holdings Bhd (UDA), syarikat pembangunan hartanah, merancang untuk membangunkan sebuah perumahan khas yang lengkap dengan kemudahan untuk golongan pesara.

Pengerusi UDA Datuk Mohd Shafei Abdullah berkata konsep ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, dijangka pembinaannya bermula pada tahun depan.

"Kita merancang untuk membangunkan projek perumahan untuk golongan pesara ini di Melaka di tanah seluas 5.26 hektar.

"Secara dasarnya, kerajaan negeri Melaka telah bersetuju dan hanya menunggu untuk menandatangani dokumen," katanya kepada media selepas majlis Berbuka Puasa Ancasa Residence bersama Yayasan Anak Yatim Port Dickson di sini.

Mohd Shafei berkata projek perumahan itu akan dilengkapi dengan kemudahan seperti hospital, tempat beribadat, tempat untuk bercucuk tanam dan sebagainya.

"Golongan yang sudah bersara ini, mereka mahu hidup bersama kelompok mereka kerana mempunyai pemikiran yang sama dan ada teman untuk berbual.

"Jadi, di sinilah kami melihat peluang untuk membuat projek seperti ini, untuk memenuhi hasrat golongan yang bersara ini," katanya.

Bagi memastikan perumahan itu hanya untuk mereka yang sudah bersara, katanya jika pembelinya meninggal dunia, rumah tersebut tidak boleh diwariskan kepada ahli keluarga.

Sebaliknya, mereka perlu menjual semula kepada pihak pengurusan, kata Mohd Shafei.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafei berkata UDA kini giat membangunkan tanah-tanah wakaf.

"Buat masa ini, kita sedang membangunkan tanah wakaf di Pulau Pinang dan kita sedang meninjau peluang untuk membangunkan tanah wakaf di Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata pembangunan tanah-tanah wakaf itu dibangunkan secara bersama dengan Jabatan Agama Islam negeri dan tidak bermotifkan keuntungan berlebihan.

"Pihak Jabatan Agama Islam negeri menyediakan tanah manakala UDA menyediakan kos, pelan pembangunan dan membinanya," katanya sambil menambah UDA telah membelanjakan RM10 juta untuk membangunkan tanah-tanah wakaf di beberapa tempat.

Uda

Artikel Lain