suria

McDermott Akan Perbesar Pejabat Kejuruteraan Di Malaysia

SINGAPURA: McDermott International, yang sedang dalam proses memindahkan ibu pejabat serantaunya dari Singapura ke Malaysia menjelang Jun, merancang untuk memperbesarkan pejabat kejuruteraannya di Malaysia.

Menawarkan penyelesaian kejuruteraan dan reka bentuk kemudahan pengeluaran minyak, McDermott mempunyai sejarah yang panjang di Malaysia dan telah berada di sini lebih daripada 30 tahun.

"Dengan kehadiran banyak syarikat kejuruteraan terkemuka, kami nampak peluang untuk merekrut kakitangan kejuruteraan yang berpengalaman.

"Pasti sudah wujud pasaran di Malaysia dan harga minyak semasa telah melembabkan sedikit industri berkenaan. Bagaimanapun kami berharap untuk berada dalam kedudukan baik apabila industri berkenaan berkembang semula," kata Naib Presiden dan Pengurus Besar untuk Asia Pasifik, Hugh Cuthbertson dalam temubual melalui e-mel dengan Bernama.

Peranan McDermott sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCI) terkemuka untuk industri minyak dan gas, telah meletakkan syarikat itu untuk bekerjasama rapat dengan pelanggan dan syarikat pengeluar minyak dan gas terkenal seperti Petronas, Murphy, Exxon, Shell dan Conoco.

"Kami menawarkan perkhidmatan yang lengkap daripada kejuruteraan awal dan reka bentuk kejuruteraan hadapan (FEED) kepada pembinaan marin luar pesisir, malah penyahtauliahan dan penghapusan kemudahan luar pesisir," katanya.

Selain McDermott, syarikat perkhidmatan minyak multinasional lain, termasuk Technip dan Subsea 7, turut berpindah ke Malaysia dari republik ini.

"Perbezaannya ialah kami memindahkan ibu pejabat serantau kami untuk Asia ke Kuala Lumpur. Ini akan membolehkan kami menawarkan perkhidmatan yang lebih reponsif kepada pelanggan kami di Malaysia dengan kehadiran yang leih besar di negara itu.

"Kami berharap untuk bekerjasama lebih rapat dengan pelanggan, membolehkan pengurusan kanan terlibat lebih kerap dan menawarkan perkhidmatan yang lebih responsif kepada keperluan mereka," kata Cuthbertson.

Menurutnya, kehadiran kejuruteraan McDermott di Malaysia akan meningkat dengan pesat dan membolehkannya bekerjasama rapat dan cekap dengan pelanggan dalam membangunkan penyelesaian kejuruteraan.

"Kami juga boleh melaksanakan projek dalaman penuh di sini di Kuala Lumpur," katanya.

McDermott amat fokus untuk mengurangkan kos dan menawarkan pelanggan dengan penyelesaian lebih efisien dan menjimatkan kos.

Sebagai kontraktor pembinaan luar pesisir, ia tidak membina kilang atau pangkalan pembuatan di Malaysia.

"Pejabat kami baru sahaja dilengkapkan sepenuhnya dan kami sedang merekrut  ramai pekerja. Aset pembinaan luar pesisir utama kami kini sudah pun beroperasi penuh dari Malaysia.

"Pelaburan kami, terutama dalam pekerja yang kami ambil, membangunkan kemahiran kakitangan dan melatih pekerja melaksanakan kerja-kerja pengangkutan dan pemasangan luar pesisir," tambahnya.

McDermott

Artikel Lain