suria

Eksport Perabot Malaysia Dijangka Cecah RM10 Bilion Pada 2016

Douglas Unggas Embas

KUALA LUMPUR: Eksport perabot Malaysia dijangka mencecah RM10 bilion tahun ini, dipacu oleh aktiviti promosi dan peningkatan kemahiran oleh sektor awam dan swasta.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata Malaysia akan mempergiatkan aktiviti promosi di India, China dan negara-negara Eropah, memandangkan keupayaan dan daya tahan yang kukuh  usahawan perabot tempatan.

"Usahawan kita sentiasa mencari peluang untuk bersaing dengan perubahan trend seperti bergerak ke dalam sektor automotif dan meningkatkan  inovasi dan kreativiti.

"Saya juga berharap mereka akan berubah menjadi Pengeluar Reka Bentuk Tulen  (ODM) yang memerlukan mereka mengukuhkan jenama mereka kerana Malaysia mempunyai kayu yang unik," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) ke-22 di sini, Selasa.

Uggah berkata platform perdagangan e-dagang baru yang disediakan oleh Alibaba Group di MIFF akan membolehkan pempamer dan pembeli menjalankan lebih banyak perniagaan sepanjang tahun dan mewujudkan peluang-peluang eksport.

Alibaba Group dan penganjur MIFF, UBM Asia, menggunakan MIFF 2016 sebagai perkongsian strategik perintis untuk generasi akan datang dalam penyelesaian dalam talian-ke-luar talian (O20).

Uggah berkata kerajaan merancang untuk menganjurkan lebih banyak pertandingan bagi industri perabot dan kini sedang membangunkan beberapa kemudahan sokongan, termasuk latihan untuk meningkatkan keupayaan pereka tempatan.

Beliau berkata usaha itu, yang sedang dibangunkan oleh Majlis Kayu Malaysia, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dan Majlis Industri Perabot Malaysia, akan diselaraskan di bawah satu agensi.

Malaysia adalah pengeksport kelapan terbesar di dunia bagi perabot dengan nilai eksport melonjak 14.1 peratus kepada RM9.14 bilion pada 2015 berbanding pada 2014.

Mengenai harga komoditi yang rendah di pasaran global, Uggah berkata usaha bersepadu dengan negara-negara pengeluar lain seperti mengehadkan eksport minyak sawit dan getah membantu menaikkan harga dan menyokong peserta perladangan, terutamanya pekebun kecil.

Beliau berkata pasaran lada dan koko stabil, dengan usaha yang diselaraskan dalam industri dari segi stok telah membuahkan hasil yang menggalakkan.

Mengenai langkah kerajaan Perancis untuk menaikkan cukai import ke atas produk berasaskan sawit mulai tahun depan, Uggah berkata, rundingan antara Malaysia dan Indonesia dalam hal berkenaan masih berjalan.

"Mesyuarat jawatankuasa akan diadakan dalam beberapa hari lagi dan kami memantau keadaan, dan pada masa yang sama terus meyakinkan kerajaan Perancis mengenai langkah yang kurang wajar dilaksanakan itu.

"Kita bertanggungjawab dalam mengeluarkan minyak sawit lestari dan dalam usaha mendapatkan perakuan baki 75 peratus kawasan yang ditanam sawit di bawah Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO), selain daripada kita sendiri - Skim Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), sejak tahun lepas untuk menggalakkan pengeluaran minyak sawit lestari," katanya.

Pada masa ini, 25.3 peratus daripada kawasan yang ditanam kelapa sawit Malaysia disahkan bawah RSPO manakala 111,451 hektar telah diperakui di bawah MSPO.

Pada 21 Januari, Parlimen Perancis meluluskan Rang Undang-Undang yang akan menaikkan cukai import minyak sawit dari 100 euro setan kepada 300 euro mulai 2017, 500 euro setan mulai 2018, 700 euro setan metrik (2019) dan akhirnya sehingga 900 euro setan.-- Bernama



Artikel Lain