suria

Boeing Lancar Pesawat Pengangkut Next Generation 737-800

KUALA LUMPUR: Boeing pada Khamis melancarkan pesawat pengangkut Next Generation 737-800 Boeing Converted Freighter (BCF) dengan 55 pesawat daripada tujuh pelanggan.

"Pesawat Next Generation 737 ini memberikan nilai yang luar biasa bagi menyediakan pengangkutan yang terbaik sama ada dari segi muatan, jarak penerbangan, kebolehpercayaan serta kecekapan," kata Naib Presiden Kanan, Perkhidmatan Penerbangan Komersil, Pesawat Komersil Boeing, Stan Deal.

"Walaupun pasaran pesawat kargo global adalah lembap, kami melihat wujud permintaan untuk kapal pengangkut seperti 737-800BCF yang akan membawa kargo ekspres di laluan domestik," kata Deal dalam satu kenyataan, Rabu.

"Dalam tempoh 20 tahun akan datang, Boeing meramalkan industri penerbangan memerlukan lebih 1,000 kapal pengangkut yang diubah suai bersaiz pesawat 737, dengan syarikat penerbangan pengangkutan domestik di China mewakili hampir satu pertiga daripada keseluruhan pasaran."

Menerusi program penukaran pesawat pengangkut, pengubahsuaian pesawat  penumpang kepada kapal terbang pengangkut akan memanjangkan hayat ekonomi pesawat tersebut.

Versi 737-800 adalah pesawat Next Generation 737 yang sedang ditawarkan oleh Boeing untuk program pengubahsuaian. Pesawat-pesawat pengangkut yang lebih besar membawa kargo berketumpatan tinggi untuk laluan jarak jauh, 737-800BCF telah direka untuk mengangkut kargo ekspres di laluan domestik.

Pesawat 737-800BCF mampu membawa sehingga 23.9 setan metrik kargo dengan jarak penerbangan sejauh 3,690 kilometer, kata Boeing.

Ia dipasang dengan dua belas palet iaitu 11 palet standard serta satu separa palet dan ini menyediakan ruang kargo sebanyak 141.5 meter padu di dek utama.

Ini ditambah dengan dua kompartmen dan jika digabungkan, memberi ruang sebanyak 43.7 meter padu.

Boeing telah menerima 30 tempahan yang kukuh dan 25 komitmen untuk 737-800BCF. Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Hangzhou, China, telah menempah 10 pesawat dengan komitmen untuk 10 buah lagi, China Postal Airlines dari Beijing pula telah menempah 10 pesawat. GE Capital Aviation yang  menyediakan pesawat awal untuk diubah suai telah menempah lima pesawat, manakala beberapa lagi syarikat yang tidak dinamakan telah menempah lima pesawat dengan dua komitmen.

Di samping itu, Boeing telah memperolehi 13 komitmen untuk pengubahsuaian  daripada SF Airlines yang berpangkalan di Shenzhen, China, Cargo Air yang berpusat di Sofia, Bulgaria dan satu lagi pelanggan yang tidak dinamakan.

Pesawat 737-800BCF yang pertama dijangka dapat dihantar pada suku keempat tahun 2017.

Pesawat penumpang sedia ada akan diubah suai di fasiliti terpilih berhampiran dengan kawasan permintaan termasuk di Boeing Shanghai.

Boeing berkata pengubahsuaian melibatkan pemasangan pintu besar di dek utama kargo, sebuah sistem pengendalian kargo dan penginapan untuk empat kakitangan pesawat atau penumpang.

Boeing merupakan peneraju dalam menyediakan perkhidmatan dan sokongan selama 24 jam, 7 hari seminggu kepada industri penerbangan global.

Selain daripada mengubahsuai pesawat dan ruang dalaman, Boeing menawarkan portfolio terbesar dalam industri perkhidmatan termasuk bahagian selepas jualan, program penyenggaraan berdasarkan langganan, sokongan kejuruteraan, latihan untuk anak kapal, perancangan laluan, penjadualan kru digital, analisis data lanjutan dan perisian untuk meningkatkan operasi syarikat penerbangan serta syarikat pajakan.

Boeing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain