suria

Exim Bank Bantu Usahawan Terokai Pasaran Negara TPPA

PASIR MAS: Export-Import Bank of Malaysia Berhad (Exim Bank) bersedia membantu para usahawan tempatan untuk menerokai perniagaan di negara yang terbabit dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Pengerusi Lembaga Pengarah Exim Bank, Datuk Mat Noor Nawi berkata bantuan dalam bentuk pinjaman modal itu bagi membantu usahawan yang sememangnya digalakkan menerokai pasaran TPPA sepertimana digariskan perjanjian itu.

"Dalam konteks ini, Exim Bank berperanan untuk membiayai perniagaan-perniagaan yang dilaksanakan di luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM120,000 kepada 150 asnaf termasuk anak yatim, pelajar miskin, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lubok Setul, Rantau Panjang di sini, Isnin.

Pada 4 Feb lepas, Malaysia dan 11 negara lagi iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam menandatangani TPPA yang akan mengembangkan pasaran, mengurangkan tarif serta menggalakkan perdagangan lebih bebas.

Mengulas lanjut, Mat Noor berkata, pinjaman itu juga sejajar peranan Exim Bank yang selama ini menyalurkan kemudahan itu kepada usahawan Malaysia bagi menembusi pasaran di luar negara.

Malah, katanya, bank itu setakat ini mempunyai seramai 400 pelanggan termasuk kalangan pengeksport dan pengimport yang ditawarkan pinjaman maksimum sehingga RM200 juta.

Sementara itu, mengulas majlis hari ini, Mat Noor berharap sumbangan zakat itu dapat dimanfaatkan bagi membantu meringankan perbelanjaan penerima yang juga golongan miskin.

Katanya, sebagai sebuah syarikat korporat, Exim Bank akan terus  menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan menerusi program tanggungjawab sosial korporat.

Exim Bank

Artikel Lain