suria

IHH Buka Hospital 350 Katil Di CHengdu

KUALA LUMPUR: IHH Healthcare Bhd (IHH) menandatangani perjanjian dengan Perennial Real Estate Holdings Ltd di Chengdu, China bagi memajak ruang bagi Hospital ParkwayHealth Chengdu yang mempunyai 350 katil.

Dalam kenyataan di sini, IHH berkata hospital pelbagai disiplin itu akan menjadi hospital tertiari asing pertama Chengdu dan hospital pertama IHH di Barat China, yang dikendalikan oleh anak syarikat operasi terbesarnya Parkway Pantai.

Dijadualkan dibuka pada separuh kedua 2017, Hospital ParkwayHealth Chengdu akan memberi perkhidmatan di kawasan dengan 148 juta penduduk dan memperkukuh komitmen IHH untuk berkembang ke Greater China.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif IHH Dr Tan See Leng berkata bersama-sama dengan Hospital Gleneagles Hong Kong, Hospital ParkwayHealth Chengdu akan meneruskan rancangan IHH untuk menjadi peneraju penyedia penjagaan kesihatan antarabangsa di Greater China.

"Kami teruja untuk membawa rekod prestasi global kami yang cemerlang dalam  menyediakan penjagaan perubataan yang hebat ke Chengdu, dengan infrastruktur kukuh dan permintaan yang berkembang pantas bagi penjagaan kesihatan berkualiti," kata Dr Tan, yang juga Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Parkway Pantai.

Perjanjian pemajakan berkenaan ditandatangani dengan kehadiran Datuk Bandar  Daerah Chenghua di Chengdu Liu Guang Qiang, Konsul Jeneral Singapura di Chengdu Gan Teng Kiat, Naib Konsul di Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming Nazri Abdul Rahman, pegawai-pegawai kerajaan tempatan, lembaga pengarah IHH dan Parkway Pantai.

IHH merupakan pengendali penjagaan kesihatan swasta milik asing utama di China, dengan rangkaian 10 pusst perubatan di Shanghai, Beijing, Suzhou dan Hong Kong, kata kenyataan itu.-- Bernama


IHH Healthcare Bhd, Chengdu

Artikel Berikut

Artikel Lain