suria

Perkhidmatan ICT Red Tone Dijangka Jadi Pemacu Pertumbuhan

KUALA LUMPUR: Teknologi Komunikasi Maklumat dengan penyelesaian dan nilai tambah REDtone International Bhd dijangka menjadi pemacu pertumbuhan utama syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Lau Bik Soon dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu merancang untuk meningkatkan sumbangan segmen ini kepada pendapatan kumpulan sebanyak 30 peratus dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

REDtone berkata syarikat itu telah bersedia untuk melebarkan sayap ke Asia Tenggara.

"Pengembangan ini akan dimulakan di Indonesia berikutan satu perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh anak syarikatnya, REDtone Data Centre Bhd, dengan PT Sigma Cipta Caraka (TelkomSigma)," katanya.

TelkomSigma merupakan peneraju penyelesaian teknologi maklumat serta pemberi khidmat pusat data yang terkemuka di Indonesia.

Katanya, perkongsian itu menandakan komitmen oleh kedua-dua pihak untuk menawarkan perkhidmatan teknologi komunikasi maklumat dengan nilai tambah kepada pasaran Indonesia di mana perkhidmatan tersebut telah melihat peningkatan yang besar dalam permintaan.

"Kerjasama tersebut adalah sejajar dengan strategi kumpulan untuk membina kehadiran di Asia Tenggara dan memperkukuhkan perkhidmatan nilai tambah kami," katanya.

Presiden Pengarah TelkomSigma, Judi Achmadi, berkata syarikat itu akan bekerjasama dengan REDtone memandangkan perkhidmatan nilai tambahnya yang terbukti berjaya, ia akan dimulakan dengan perkhidmatan penyelesaian bagi  industri perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Di Malaysia, antara perkhidmatan nilai tambah yang ditawarkan oleh REDtone adalah perkhidmatan pusat data, perkhidmatan awan dan penyelesaian aplikasi, servis teleradiologi dan perkhidmatan Internet-of-Things. -- Bernama


Artikel Lain