suria

Maybank Buka Cawangan Keempat Di China

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) akan membuka cawangan di Kunming, China, minggu ini bagi memanfaatkan perkembangan perdagangan dan hubungan pelaburan sedia ada antara rantau barat daya China dan Asean.

Pengerusinya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata cawangan Kunming akan menjadi cawangan keempat Maybank di China, selepas Hong Kong, Shanghai dan Beijing.

Beliau berkata pembukaan cawangan itu merupakan langkah strategik bagi  Maybank bukan hanya disebabkan oleh potensi yang wujud di China tetapi juga kerana kedudukan baik wilayah Yunnan sebagai pintu masuk ke Asia Selatan dan Asean.

"China merupakan pemacu utama kemakmuran berterusan global dengan kepentingan yang besar kepada ekonomi Asean, rantau pertumbuhan terpantas akan datang di dunia.

"Malaysia telah menjadi rakan dagang Asean terbesar China sejak enam tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini.

Beliau berkata, Maybank Greater China mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM300 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Cawangan Maybank Kunming, yang mempunyai 15 petugas, menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan borong untuk pelanggan tempatan dan asing.

Cawangan baru itu akan memberi tumpuan kepada urus niaga termasuk pinjaman mata wang asing, perkhidmatan surat kredit serta kredit jaminan serta mata wang asing dan pembiayaan projek. -- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain