suria

AHB Sasar Perluas Pasaran Di Seluruh Dunia

Yong Yoke Keong.

KUALA LUMPUR: AHB Holding Bhd (AHB), pengeluar perabot pejabat premium di bawah jenama Artwright, merancang memperluas pasaran dengan melantik lebih ramai pengedar di seluruh dunia selain memperkenal rangkaian produk baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Yong Yoke Keong berkata, syarikat merancang melantik sekurang-kurangnya 20 lagi pengedar di seluruh dunia sebagai tambahan kepada 12 yang sedia ada termasuk pengedar tempatan, dalam tempoh setahun akan datang.

AHB yang menyasarkan pengembangan kehadirannya di India dan telah menubuhkan dua pusat pengedaran baru-baru ini, mempunyai lebih 25 pasaran eksport di pelbagai wilayah.

"Kami sedang memperluas jaringan selain akan memperkenalkan sekurang-kurangnya tiga lagi produk sebagai tambahan kepada 15 yang ada sekarang bagi membantu penembusan pasaran dan menarik lebih banyak pengedar untuk menyertai dan melabur dalam pengedaran," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat agung luar biasa syarikat, di sini Jumaat.

Syarikat itu pada masa ini diklasifikasikan menurut Nota Amalan 17 di bawah Keperluan-Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities. 

Yong berkata, kumpulan itu optimis terhadap pertumbuhan masa depannya serta yakin akan keuntungannya memandangkan ia telah mengukuhkan lembaran imbangan dan kini menumpukan kepada pertumbuhan syarikat.    

Beliau mengunjurkan pasaran global untuk perabot pejabat bernilai lebih RM50 bilion dengan jualan tahunan syarikat sekitar RM15 juta.

Kira-kira 85 peratus daripada produk AHB dieksport. 

Mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan, Yong berkata syarikat akan menerima impak yang minimum kerana kebanyakan produk adalah untuk eksport dengan bekalan dikecualikan cukai.

Yong Yoke Keong, AHB Holding Bhd

Artikel Sebelum

Artikel Lain