suria

MAI Kaji Peluang Pekema Jual Kenderaan Ke Negara Asean

Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR: Institut Automotif Malaysia (MAI) sedang mengkaji peluang baharu supaya anggota Persatuan Peniaga Kenderaan Import Melayu Malaysia (Pekema) dapat menjadi wakil pengedar dan jualan kenderaan di negara Asean.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hasrat itu selaras dengan perkembangan syarikat automotif di negara ini yang semakin berkembang.

"Oleh itu, kementerian akan terus membangunkan usahawan dan tenaga mahir automotif bumiputera yang lebih berdaya saing, selaras sasaran Dasar Automotif Nasional 2014," katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, Selasa.

Rozman ingin tahu bagaimana MAI dan Pekema bekerjasama untuk membangunkan usahawan dan tenaga mahir automotif bumiputera, terutamanya dalam memanfaatkan pelan tindakan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) 2015 selaras dengan pelan tindakan MAI.

Mustapa berkata, MAI juga membantu Pekema mengenal pasti peluang baharu untuk menembusi eksport kenderaan terpakai yang berpotensi di Bangladesh dan Sri Lanka.

MAI yang ditubuhkan pada 2010 adalah agensi di bawah kementerian yang ditubuhkan bagi menyelaras pembangunan industri bagi semua perkara berkaitan automotif termasuk dasar automotif nasional, pembangunan tenaga kerja, teknologi dan rantaian bekalan serta menyelaras aktiviti selepas jualan.

Sejak ditubuhkan, sebanyak 11,463 graduan serta pekerja sektor automotif dan 323 syarikat menjalani program pembinaan kapasiti yang dijalankan MAI antaranya 'Industry Led Professional Certification', 'Automotive Apprenticeship Programme,' dan 'Automotive Industry Certification Engineering," kata Mustapa. -- Bernama

MAI, Pekema, Mustapa Mohamed, Asean

Artikel Lain