suria

Eksport Perabot Dijangka Cecah RM9 Bilion Pada 2015 - Uggah

Uggah (tiga dari kanan) bersama Pengerusi MIFF, Datuk Dr Tan Chin Huat (dua dari kanan) melawat MIFF 2015, Kuala Lumpur, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Douglas Uggah Embas yakin Malaysia dapat mengeksport perabot bernilai RM9 bilion tahun ini berbanding RM8.01 bilion pada 2014.

Beliau berkata, angka itu mampu dicapai berikutan dolar Amerika Syarikat yang kukuh serta kejayaan pengeluar tempatan memenuhi syarat piawaian tinggi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, pengeluar perabot eksport mempunyai peluang yang baik untuk meneroka pasaran pengeluar peralatan tulen (OEM) di peringkat antarabangsa dan pada masa yang sama mengembangkan reka bentuk produk sendiri untuk kekal kompetitif.

"Pengeluar tempatan memperoleh peniagaan daripada dua bahagian itu secara saksama dan kerajaan menyambut baik langkah ini memandangkan pasaran ini bukan sahaja untuk Malaysia malah untuk keseluruhan penduduk Asean seramai lebih 600 juta," katanya kepada pemberita selepas melawat Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2015 di sini, Sabtu.

OEM mengesahkan syarikat asal yang membekalkan peralatan kepada syarikat lain untuk dijual semula atau digabungkan dengan produk lain menggunakan nama jenama penjual semula.

Selari dengan sasaran ini, Uggah juga berkata kementerian itu terus bekerja rapat dengan penggiat industri bagi membantu mereka dalam program misi dagangan, perbincangan dan jalinan usaha sama, selain mendengar dan menyelesaikan masalah dan isu yang dihadapi industri, termasuk mengenai pekerja asing dan bahan mentah.

Memandangkan Malaysia menyasarkan untuk mencapai eksport perabot bernilai RM16 bilion pada 2020, Uggah berkata usaha yang dilakukan oleh MIFF 2015 dalam menganjurkan pameran itu tepat pada masanya, dengan pembeli dari lebih 140 negara mengambil bahagian dengan US dan Jepun kekal sebagai pembeli utama.

Pameran lima hari yang berakhir hari anjuran UBM Malaysia, berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra dan Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade.

Ia menarik penyertaan 15 negara dengan 508 peserta pameran, dua pertiganya dari Malaysia.

perabot, OEM, MIFF

Artikel Lain