suria

Unit Oriental Peroleh 90 Peratus Pegangan Dalam PT Surya Agro Pada RM98.32 Juta

KUALA LUMPUR: OAM Asia (Singapore) Pte Ltd (OAMA) mengambil alih 90 peratus kepentingan dalam PT Surya Agro Persada (SAP) pada RM98.321 juta, demikian menurut Oriental Holdings Bhd (OHB) dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Ini berikutan pengesahan yang diperoleh daripada Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia bagi pengambilalihan pegangan daripada PT Kencana Sawit Abadi, yang menguasai baki 10 peratus.

OHB berkata, pembelian itu akan dibiayai oleh pinjaman bank.

OAMA adalah anak syarikat milik penuh Oriental Boon Siew (Mauritius) Pte Ltd (OBSM) yang merupakan unit OHB dengan penguasaan 50.5 peratus.

OHB berkata pengambilalihan itu selaras dengan rancangan strategiknya untuk mengembangkan pegangan tanah ladang di Indonesia.

"Pengembangan aktiviti huluan akan meningkatkan rantaian nilai dan membolehkan kumpulan mendapatkan sinergi melalui peningkatan operasi dan pengoptimuman kos di semua ladangnya melalui perkongsian kepakaran dan sumber yang sama," katanya.

"Ini seterusnya, akan membantu kumpulan mengukuhkan kedudukannya dalam industri minyak sawit dan perniagaan tani," katanya.

Selain perladangan,OHB Group terlibat dalam automotif, hotel dan pusat peranginan, produk plastik, pegangan pelaburan dan perkhidmatan kewangan, hartanah pelaburan dan perniagaan produk bahan binaan serta penjagaan kesihatan.

OHB berkata, industri minyak sawit dijangka mempunyai potensi yang baik berikutan permintaan global bagi minyak sawit mentah diunjur kukuh dalam jangka panjang.

"Pengambilalihan ini penting untuk pembangunan perladangan kerana ia akan membolehkan kumpulan mempunyai kilang minyak sawit mentah keempat di Indonesia dan kilang pertama di Sumatera Selatan.

"Ia juga akan mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan itu sebagai peserta utama perladangan di Indonesia," katanya.

OHB berkata, pengambilalihan itu dijangka meningkatkan pendapatan masa depan kumpulan, hasil daripada penanaman dan penuaian kelapa sawit.

"Lembaga yakin pengambilalihan itu akan meningkatkan lagi sumbangan bahagian perladangan kepada prestasi OHB," katanya. -- Bernama

Artikel Lain