suria

NewCo MAS Rasionalisasikan Kapasiti Agregat 2015 Lebih 10 Peratus

KUALA LUMPUR: MAS NewCo (NewCo), syarikat yang mengambil alih Penerbangan Malaysia yang merupakan sebahagian daripada proses penstrukturan semula syarikat penerbangan negara, bakal menyaksikan rasionalisasi kapasiti  agregat sebanyak lebih 10 peratus tahun ini, dengan tumpuan kepada laluan domestik dan serantau yang menguntungkan.

Khazanah Nasional Bhd yang menguasai 70 peratus kepentingan dalam MAS, berkata demikian dalam maklumat terkini kemajuan sukuan Pelan Pemulihan MAS (MRP) yang dikeluarkan di sini, Isnin.

Ia berkata, pelaksanaan MRP yang melibatkan 12 perkara, terus menunjukkan kemajuan kukuh dan mampan dalam kesemua bidang utama sejak pengumuman pada 29 Ogos tahun lepas.

Menurut Khazanah, penyepaduan rangkaian jangka pendek dijangkakan membolehkan kedudukan kewangan syarikat penerbangan itu mengukuh dan seterusnya meningkatkan kapasiti, dengan kadar pertumbuhan kompaun tahunan lebih lima peratus setahun dalam tempoh 2015-2020.

Secara khususnya, ia berkata NewCo merancang meluaskan kapasiti laluan domestik dan Asean sebanyak enam hingga lapan peratus setahun dan Asia Pasifik sebanyak lima peratus bagi membangunkan perhubungan hab Kuala Lumpur.

"MAS juga akan mengkaji semula laluan Eropah dan Timur Tengah bagi memberi tumpuan kepada sumbangan dan keuntungan rangkaian.

"Laluan sedia ada sedang dinilai. Pembatalan akan ditimbangkan jika laluan itu tidak selari dengan objektif tersebut," katanya.

Pelan perniagaan NewCo itu juga disediakan untuk menjajarkan kumpulan pesawat dengan keperluan rangkaian, kata cabang pelaburan kerajaan itu.

Pemilihan pesawat untuk operasi di laluan ini juga merupakan penyumbang utama kepada prestasi syarikat, dan penentusahan yang bersesuaian akan memastikan keuntungan maksimum dan kos minimum.

Khazanah berkata penelitian lanjut pelan perniagaan NewCo akan memberikan pelbagai peluang transformasi operasi dalam banyak bidang perniagaan, termasuk jualan dan pemasaran, produk, pemilikan pesawat dan operasi darat.

Isu-isu ini jika ditangani, akan menyumbang kepada peningkatan ketara dalam prestasi operasi kumpulan.

Namun katanya menyedari penambahbaikan ini juga bergantung kepada kejayaan  NewCo melaksanakan inisiatif yang sedang dilaksanakan.

"Penstrukturan ini akan terus meneroka peluang meningkatkan kecekapan ketika  NewCo menjayakan pelan perniagaannya.

"Pelan kontingensi juga disediakan sebagai sebahagian daripada pelan kesinambungan perniagaan, sedia untuk digerakkan jika perlu dalam proses peralihan MAS ke NewCo," katanya.

Mengenai jumlah pekerja yang bersesuaian, Khazanah berkata proses penilaian bakat yang meliputi kira-kira 20,000 pekerja MAS selesai pada 2 Feb, dengan proses mengenal pasti kumpulan pekerja yang memenuhi keperluan NewCo sedang dijalankan.

"Skim pemisahan juga sedang dibangunkan, dipandu oleh prinsip yang meliputi perakuan kepada penutupan perniagaan, keadilan kepada semua pihak, pematuhan kepada syarat perundangan dan kekangan kewangan.

"Keutamaan ialah memastikan operasi syarikat penerbangan berjalan lancar.

"Tempoh peralihan operasi dijangka berlaku dan pengurangan jumlah pekerja akan dilakukan secara berperingkat-peringkat, selari dengan inisiatif transformasi dan kesediaan operasi," katanya.

Artikel Lain