suria

PAU 2014: Penghapusan AP Terbuka Sekat Bumiputera Sertai Industri Automotif

Ikmal Hisham Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta supaya tidak menyekat penyertaan usahawan Bumiputera dalam industri automotif dengan menghapuskan dasar Permit Import (AP) terbuka.

Perwakilan Kelantan, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, melalui dasar AP terbuka, ia telah menggalakkan aktiviti ekonomi terutama membuka peluang pekerjaan kepada 78,400 golongan Bumiputera.

"Janganlah kerajaan termakan hasutan kononnya tindakan tidak menghapuskan dasar itu hanya menyebabkan kerajaan dituduh 'berundur ke belakang'.

"Hakikatnya tidak timbul persoalan 'berundur ke belakang' kerana AP terbuka ini telah berjaya memastikan kewujudan penyertaan Bumiputera dalam industri automotif," katannya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ikmal Hisham yang juga Ketua Umno Bahagian Tanah Merah berkata, pengenalan dasar AP terbuka merupakan satu daripada langkah bijak kerajaan dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Walaupun daripada segi jumlah pengimportan, kuantiti yang dibawa masuk tidak besar namun dari pungutan cukai, sumbangan usahawan Bumiputera dalam bidang automotif boleh dibanggakan," katanya.

Menurut beliau, berdasarkan data Kementerian Kewangan bagi tempoh 2011 hingga 2013, pengimportan kenderaan menyumbang sebanyak RM10 bilion melalui kutipan eksais.

Tambah Ikmal Hisham, situasi hari ini menyaksikan usahawan Bumiputera dalam bidang automotif menghadapi masalah modal yang tinggi.

"Majoriti peniaga Melayu dan Bumiputera dalam industri ini hanya menjadi ejen kepada syarikat kereta nasional Proton dan Peodua. Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak diberi peluang dan sukar dilantik menjadi ejen syarikat kereta seperti Mazda, Toyota, Honda dan sebagainya.

"Semua ini berlaku kerana mereka berhadapan kekangan modal memandangkan untuk menjadi ejen kepada syarikat tersebut, mereka memerlukan modal antara RM4 juta hingga RM10 juta," katanya.

Selain itu, Ikmal Hisham turut mencadangkan supaya kerajaan menghapuskan fi AP kereta terpakai berjumlah RM10,000.

"Langkah itu penting bagi membantu usaha kerajaan mengurangkan harga kereta, tambahan pula fi ini hanya dikenakan kepada peniaga kereta terpakai Bumiputera sahaja," katanya.


industri automotif, AP, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain