suria

KKIP Tarik Pelaburan Lebih RM3 Bilion

KOTA KINABALU: Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Sdn Bhd berjaya menarik lebih RM3 bilion nilai pelaburan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.


Beliau berkata, pelaburan itu membabitkan penubuhan 15 institut latihan, penyelidikan dan pembangunan serta 261 buah kilang, dan mewujudkan lebih 7,000 pekerjaan.

"KKIP kekal sebagai satu-satunya taman perindustrian am di Sabah tetapi menghadapi persaingan yang sengit daripada taman perindustrian lain yang sedang pesat membangun, dan ia perlu terus melakukan transformasi," katanya dalam ucaptamanya pada majlis makan malam ulang tahun KKIP Sdn Bhd Ke-20 di sini, Ahad.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata selain berusaha untuk mengekalkan kedudukannya sebagai taman perindustrian pilihan pertama, KKIP perlu berkongsi pengalaman dengan taman perindustrian lain untuk bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan dan inovasi.

"Kesan globalisasi dan persaingan daripada hab perindustrian serantau turut memerlukan pengurusan KKIP untuk berfikir di luar daripada kelaziman secara konsisten," katanya.

Mengenai Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Musa berkata, kebanyakan projek berada pada landasan yang betul dan inisiatif yang disenaraikan di bawah Program Transformasi Ekonomi turut dilaksanakan dengan baik.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata KKIP perlu melaksanakan kajian yang menyeluruh untuk menempatkan kluster hab halal dalam pelan induknya.

Jainab, yang juga Timbalan Pengerusi KKIP berkata sebaik sahaja kluster itu diperakui oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal, perusahaan kecil dan sederhana perlu memanfaatkan limpahan daripada industri halal.


KKIP, Datuk Seri Musa Aman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain