suria

Ranhill Bersekutu Cari Rakan Kongsi Di China

NANNING: Ranhill Bersekutu Sdn Bhd, syarikat kejuruteraan Malaysia, berharap dapat membentuk perkongsian dengan firma-firma China untuk bekerjasama dalam industri infrastruktur di negara tersebut.

Ranhill yang ditubuhkan pada 1973, menerima 50 pertanyaan daripada firma-firma China semasa Ekspo China-Asean ke-11 (Caexpo) yang berlangsung selama empat hari di sini bermula 16 September.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill Bersekutu Yap Yuen Thye berkata syarikat itu mahu menjalin kerjasama dalam pembinaan loji kuasa, jambatan, landasan kereta api, bekalan air, projek kumbahan dan lain-lain lagi.

"Pada masa sekarang, kami telah menerima 50 pertanyaan daripada syarikat-syarikat China dan kini berbincang dengan mereka untuk perkongsian bagi membolehkan kami membawa masuk teknologi hijau ke negara ini," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Jumaat.

Yap berharap perjanjian pertama boleh ditandatangani tahun depan memandangkan peluang telah ada di negara ini.

Ranhill Bersekutu yang pertama kali menyertai Caexpo, terlibat dalam pelbagai projek secara menyeluruh serta kejuruteraan kepada hampir 2,000 projek melibatkan kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk konsep, pengurusan pembinaan, pengurusan projek dan pengauditan.

Projek kejuruteraan signifikan yang dilaksanakan termasuk telekomunikasi, kejuruteraan pantai, tebatan banjir, hotel, resort, penilaian kesan alam sekitar (EIA) dan menara pejabat.

Sebanyak 126 syarikat Malaysia, 40 peratus merupakan peserta kali pertama dan 11 agensi kerajaan yang diketuai oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengambil bahagian dalam ekspo itu.


Rahill, Nanning

Artikel Lain