suria

Penswastaan Delloyd Tunggu Maklum Balas Pemegang Saham

SHAH ALAM: Cadangan penswastaan Delloyd Ventures Bhd akan bergantung kepada maklum balas pemegang saham di mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat yang akan diadakan pada Disember.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Leon Tee Wee Leng berkata syarikat ketika ini melalui proses yang wajar, iaitu penasihat bebas dan penilai dilantik.

"Dokumen sedang disediakan, lebih banyak maklumat akan diberikan kepada pemegang saham dan kita tunggu pekeliling yang akan dikeluarkan," katanya kepada pemberita pada mesyuarat agung tahunan kumpulan di sini, Isnin.

Beliau berkata maklumat lanjut berhubung penswastaan boleh didapati untuk pemegang saham dan mereka diberi tempoh 21 hari sebelum EGM diadakan.

"Ketika ini, jika pemegang saham mempunyai sebarang soalan berhubung isu itu, mereka boleh salurkannya kepada setiausaha syarikat," katanya.

Leon berkata jika penswastaan dapat dijayakan tanpa sebarang masalah, ia mungkin selesai menjelang Mac 2015.

"Pemegang saham utama menawarkan harga akhir RM5.20 sesaham, pada masa ini.

"Harga RM5.20 adalah munasabah dan ia terpulang kepada pemegang saham untuk membuat pertimbangan mengenainya. Jika terdapat sebarang masalah, adalah lebih baik mereka menyuarakannya di EGM," katanya.

Chung & Tee Ventures Sdn Bhd merupakan pemegang saham tunggal terbesar dalam Delloyd dengan 34.24 peratus kepentingan, dan bersama pihak yang bertindak dengannya secara kolektif memiliki 63.58 peratus dalam syarikat.

Leon berkata harga saham Delloyd tidak diniagakan pada paras ini sebelum ini dan disebabkan tawaran ini, ia diniagakan pada paras tertinggi.

"Jika perjanjian untuk menswastakan tidak berjaya, kami tidak tahu bagaimana prestasi harga saham tetapi pada penilaian semasa, ia pada paras tertinggi," kata Leon.

Delloyd Ventures Bhd merupakan pengeluar komponen automotif dan turut terlibat dalam tanaman kelapa sawit. 


Delloyd

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain