suria

Tun Mahathir Harap Lebih Banyak Produk Pelancongan Di Langkawi

LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap lebih banyak produk pelancongan diwujudkan di Langkawi bagi menarik lebih ramai pelancong ke pulau peranginan itu.

Beliau berkata Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) khususnya perlu memainkan peranan lebih proaktif bagi mengenal pasti produk pelancongan yang berpotensi di pulau itu.

"Dengan adanya (penambahan) produk pelancongan itu, ia dapat meningkatkan kehadiran pelancong ke pulau peranginan ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sky Dome dan Pengiktirafan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) di Oriental Village di sini, Selasa.

Beliau berkata usaha Lada dalam mewujudkan produk pelancongan sedia ada sangat dihargainya dan berharap usaha itu akan berterusan.

Mengenai Sky Dome, beliau berkata ia merupakan tarikan pelancongan baharu bernilai RM1.53 juta, yang menawarkan keseronokan tontonan animasi pada sudut keluasan 360 darjah di pulau peranginan ini.

Sky Dome adalah kubah penuh luar yang pertama di Malaysia serta Asia dan ia turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Lada Tan Sri Khalid Ramli, Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi Mohd Ali Makkit dan Pengasas MBOR Tan Sri Danny Ooi.


Langkawi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain