suria

Sektor Penyumberan Luar M'sia Melonjak 27 Peratus

David Wong

KUALA LUMPUR: Sektor penyumberan luar Malaysia mencatat lonjakan 27 peratus dalam pendapatan luar negara pada tahun kewangan 2013, kepada RM1.59 juta berbanding RM1.25 juta pada 2012, hasil daripada peluang dan projek-projek penyumberan luar.

Pengerusi Outsourcing Malaysia (OM) David Wong dalam satu kenyataan hari ini berkata peningkatan 27 peratus dalam tempoh setahun itu penting untuk industri penyumberan luar negara, yang masih agak kecil jika dibandingkan dengan rakan serantau yang lain.

Beliau berkata pelbagai inisiatif oleh kerajaan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan usaha lain dalam keseluruhan industri, merupakan pemacu kepada peningkatan hasil yang positif dalam industri penyumberan luar Malaysia.

"Namun, masih banyak ruang untuk penambahbaikan. Daripada RM1.59 bilion dalam pendapatan luar negara, hanya 25 peratus dijana oleh penggiat penyumberan luar tempatan manakala selebihnya oleh peserta perkhidmatan perkongsian asing yang berpangkalan di Malaysia," katanya.

Wong berkata masih ramai penggiat penyumberan luar tempatan yang hanya menumpukan kepada perniagaan dalam pasaran tempatan berbanding rakan global mereka (ditubuhkan dan beroperasi di Malaysia), yang lebih berminat untuk menarik dan memperoleh perniagaan penyumberan luar asing.

Beliau berkata di sinilah peranan OM untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana seperti syarikat-syarikat penyumberan luar tempatan dengan membantu mereka meningkatkan rantaian nilai supaya menjadi daya tarikan global dan memperoleh pendapatan luar negara menerusi projek penyumberan luar dalam negara.

Penyumberan luar merupakan antara Projek Permulaan dalam Perkhidmatan Perniagaan ETP, Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang memberi tumpuan kepada bidang perniagaan seperti proses perniagaan penyumberan luar, penyumberan luar proses teknologi maklumat serta proses penyumberan pengetahuan.

OM ialah inisiatif industri penyumberan luar dan merupakan satu bahagian dalam Persatuan Kebangsaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Malaysia.

Malaysia

Artikel Lain