suria

Sasbadi Akan Kumpul RM25.23 Juta Daripada IPO

KUALA LUMPUR: Sasbadi Holdings Bhd yang akan disenarai di pasaran utama Bursa Malaysia pada 23 Julai ini akan mengumpul RM25.23 juta untuk pengembangannya melalui tawaran awam awal (IPO).

Dalam satu kenyataan pada Isnin, syarikat penerbit pendidikan itu berkata, IPO berkenaan melibatkan terbitan awam 21.2 juta saham biasa baharu bernilai 50 sen seunit.

IPO itu juga, katanya, termasuk tawaran untuk jualan sehingga 35.95 juta saham sedia ada.

Sasbadi berkata, pendapatan IPO itu akan digunakan untuk mendirikan pusat pendidikan gunaan, membiayai sebahagian daripada cadangan pembelian bisnes penerbitan serta pejabat merangkap gudang.

Sementara itu, Pengarah Urusannya, Law King Hui, berkata syarikat itu merancang menggunakan hasil daripada IPO itu untuk membeli bisnes penerbitan bagi mengembangkan kehadirannya dalam pasaran untuk bahan pendidikan sekolah jenis kebangsaan China.

"Kami juga merancang memenuhi permintaan golongan pembaca Bahasa Malaysia dan China," katanya di pelancaran prospektus IPO terbabit di sini.

Selepas disenarai, Sasbadi akan mempunyai permodalan pasaran RM151.13 juta, katanya.

Di majlis taklimat media selepas pelancaran prospektus itu, Law berkata, Sasbadi sedang mencari lokasi untuk pejabat merangkap gudangnya.

"Ketika ini pejabat merangkap gudang kami di Kota Damansara sudah penuh," katanya.

Law berkata, syarikat itu merancang untuk mengguna pakai dasar membayar 50 peratus dividen bagi setiap tahun kewangan.

Pihaknya yakin dasar itu dapat dicapai berikutan perbelanjaan modal yang rendah yang diperlukan untuk proses percetakan.

"Bagaimanapun, dasar dividen itu tertakluk kepada keuntungan serta pertimbangan lain, termasuk keperluan modal kerja," katanya.

Law berkata, Sasbadi menyumberluarkan percetakan bahan-bahannya dan tidak mempunyai rancangan dalam masa terdekat untuk melakukannya sendiri.

"Kami telah beroperasi selama 29 tahun tanpa melakukan percetakan sendiri. Kami dapati ia menguntungkan kerana perniagaan kami tertakluk kepada faktor musim," katanya.

Sasbadi

Artikel Berikut

Artikel Lain