suria

Esscom Disaran Beri Penerangan Kepada Pelabur

LAHAD DATU: Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) disaran memberi penerangan yang berterusan kepada pelabur dari luar Sabah berhubung tahap keselamatan di negeri itu.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Bolkiah Ismail berkata langkah itu penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus membuat pelaburan di Sabah, terutama di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berpotensi besar dalam pelbagai sektor khususnya pelancongan dan perkhidmatan.

"Kita boleh menganjurkan program seperti seminar dan taklimat dari semasa ke semasa agar mereka sentiasa mengetahui perkembangan keadaan keselamatan di sini.

Kita tidak mahu mereka hanya mendengar khabar angin daripada media sosial mengenai soal keselamatan di Sabah kerana kebanyakan berita yang digembar-gemburkan adalah tidak tepat," katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Bolkiah turut berterima kasih kepada kerajaan yang mengambil inisiatif baharu dengan mewujudkan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Esszone bagi memantap dan mempertingkat tahap keselamatan timur Sabah.

"Langkah itu bukan sahaja memberi keyakinan kepada rakyat Sabah dalam soal kedaulatan negara, tetapi secara tidak langsung dapat meyakinkan para pengusaha dan pelabur di negeri ini terutamanya di Esszone," katanya.

Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan yang melakukan penambahbaikan terhadap Esscom menerusi sistem penggiliran tanggungjawab operasi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula 1 Julai ini.

Terdahulu Bolkiah merasmikan Seminar Inisiatif Pelaburan Langsung Domestik anjuran Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) dan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC).

Esscom

Artikel Lain