suria

Showcase Malaysia Di Banglore Catat Nilai Jualan RM18.9 Juta

Pameran Showcase Malaysia 2014 di Bangalore mendapat sambutan pelbagai pihak.
NEW DELHI: Jualan bernilai RM18.9 juta direkodkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pada pameran perdagangan 'Showcase Malaysia' di Bangalore, Karnataka.

Jualan itu membabitkan produk 26 syarikat dalam pelbagai sektor seperti automotif, perabot, penjagaan kesihatan, produk kesihatan, makanan dan minuman, francais dan perkhidmatan perniagaan.

"Pameran itu menerima sambutan positif daripada komuniti perniagaan di Bangalore, dan mereka kini menunggu untuk melihat lebih banyak penyertaan daripada syarikat Malaysia pada Showcase Malaysia akan datang," kata Matrade dalam satu kenyataan, Isnin.

Agensi penggalakan perdagangan negara itu berkata pengukuhan Rupee berbanding dolar Amerika Syarikat, membolehkan syarikat India mempunyai kuasa beli yang lebih baik berbanding sebelumnya.

"Peserta pameran Showcase Malaysia yang turut menikmati kelebihan ini turut menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti, selain menawarkan harga yang kompetitif menerusi tarif keutamaan antara Malaysia dan India," kata Matrade.

Showcase Malaysia itu merupakan siri keempat di India. Edisi sebelum ini berlangsung di Mumbai, Pune dan Chennai, masing-masing pada 2011, 2012 dan 2013.

Pameran tiga hari dari 29 Mei hingga 31 Mei itu yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Bangalore, dibuka kepada pelawat perdagangan dan perniagaan serta orang ramai.

Seramai 2,823 pelawat mengunjungi pameran itu.


Matrade, Showcase Malaysia, Banglore

Artikel Lain